AM

DUN SABAH: RUNDINGAN KAWASAN PULAU SEBATIK, SARAWAK-KALIMANTAN MASIH BERJALAN

30/04/2026 12:24 AM

KOTA KINABALU, 29 April (Bernama) -- Rundingan persempadanan darat antara Malaysia dan Indonesia berkenaan Pulau Sebatik serta Sarawak-Kalimantan Barat masih berjalan dan belum dimuktamadkan sepenuhnya, persidangan Dewan Undangan Negeri Sabah diberitahu hari ini.

Pembantu Menteri kepada Ketua Menteri Datuk Joniston Bangkuai berkata antara perkara yang masih dalam rundingan adalah melibatkan kawasan intertidal di sebelah timur Pulau Sebatik serta empat kawasan Outstanding Boundary Problem (OBP) di sektor Sarawak-Kalimantan Barat.

“Bagi memastikan kepentingan negeri sentiasa terpelihara dan diutamakan, Kerajaan Negeri Sabah sentiasa dilibatkan secara konsisten dalam setiap peringkat rundingan teknikal dan diplomatik melalui penyertaan wakil daripada Jabatan Ketua Menteri Sabah, Jabatan Peguam Besar Negeri Sabah dan Jabatan Tanah dan Ukur Sabah,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika menggulung perbahasan berkaitan Jabatan Ketua Menteri bagi Ucapan Dasar Kerajaan Negeri Sabah 2026 disampaikan Yang Dipertua Negeri Sabah Tun Musa Aman.

Dalam pada itu, Joniston memberi jaminan kerajaan negeri tidak akan berkompromi dalam mempertahankan kedaulatan Sabah.

Terdahulu, Datuk Seri Mohd Shafie Apdal (Warisan-Senallang) ketika membahaskan ucapan dasar itu bertanya tentang kedudukan semasa perbincangan itu, sama ada perkara berkenaan telah dimuktamadkan atau sebaliknya.

Sebelum ini, Menteri Sumber Asli dan Kelestarian Alam Datuk Seri Arthur Joseph Kurup dilaporkan berkata dakwaan Malaysia kehilangan 127.3 hektar di Pulau Sebatik kepada Indonesia adalah tidak tepat, dan tidak selaras dengan rekod rasmi kedua-dua negara.

Beliau berkata berdasarkan memorandum persefahaman (MoU) yang disepakati kedua-dua negara pada 18 Feb 2025, Indonesia hanya memiliki kawasan seluas 123 hektar di Pulau Sebatik, manakala Malaysia memperoleh perluasan wilayah sebanyak lima hektar, yang sebelum ini berada dalam wilayah Indonesia.

Persidangan DUN bersambung esok.

-- BERNAMA

 

 

© 2026 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan