MELAKA 30 April (Bernama) -- Seorang pegawai pemerintah tentera berpangkat Mejar mengaku tidak bersalah di Mahkamah Sesyen Ayer Keroh, di sini, hari ini, atas lima pertuduhan mengemukakan dokumen tuntutan palsu bernilai lebih RM225,000 berhubung pembekalan bahan mentah yang tidak wujud, dua tahun lepas.
Mengikut kesemua lima pertuduhan itu, D. Vivekananthan, 43, sebagai ejen Kerajaan Malaysia iaitu Pegawai Pemerintah 9 Skuadron Rejimen Askar Jurutera Diraja (9 SKN RAJD) Kem Terendak didakwa menggunakan invois daripada lima syarikat berbeza dengan niat untuk memperdayakan prinsipalnya iaitu Kementerian Pertahanan Malaysia.
Invois tersebut mengandungi butiran matan palsu berkaitan pembekalan bahan mentah untuk pelbagai kerja penyelenggaraan dan pembinaan di kem berkenaan dengan nilai keseluruhan berjumlah RM225,018.75, yang mana tertuduh mengetahui bahawa pembekalan tersebut sebenarnya tidak dilakukan.
Bagi pertuduhan pertama, dia didapati menggunakan invois atas nama Jelatok Rimba Enterprise berkaitan pembekalan bahan mentah bagi tiga skop kerja iaitu pembinaan Bengkel Latihan Ketukangan Anggota, pembinaan dua pondok Skuad Pasukan dan pembinaan Stor Latihan Kereta Jenis C (KJC) bernilai RM80,000.
Pertuduhan kedua melibatkan Invois WH Technic Resources bagi pembekalan bahan mentah untuk kerja senggaraan garaj Balai Pengawal (BPKP 21) serta kerja berkaitan Pasukan 9 SKN RAJD bernilai RM35,523.75 manakala pertuduhan ketiga melibatkan invois Sri Bistari Trading mengenai pembekalan bahan mentah bagi kerja senggaraan Stor FAMTO serta kerja berkaitan berjumlah RM20,000.
Selain itu, ia juga membabitkan invois Subsurf Sdn Bhd berhubung pembekalan bahan mentah bagi kerja senggaraan Bilik Sejarah yang bernilai RM39,950 manakala pertuduhan kelima berkaitan perolehan bahan mentah bagi kerja senggara Blok Penginapan berjumlah RM49,545 atas nama invois Fareena Universal.
Kesemua kesalahan itu didakwa dilakukan di Pejabat 9 SKN RAJD Kem Terendak, dalam daerah Melaka Tengah, antara 12 Mac 2024 hingga 19 Nov 2024.
Pendakwaan dikemukakan mengikut Seksyen 18 Akta Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) 2009 dan boleh dihukum di bawah Seksyen 24(2) akta sama.
Sabit kesalahan tertuduh boleh dipenjara selama tempoh tidak melebihi 20 tahun dan denda tidak kurang daripada lima kali ganda jumlah atau nilai butir matan yang palsu atau RM10,000, mengikut mana-mana yang lebih tinggi.
Timbalan Pendakwa Raya SPRM Sharina Farhana Nor Sa'ari mencadangkan jaminan RM30,000 untuk semua pertuduhan serta syarat tambahan pasport tertuduh diserahkan kepada mahkamah dan melapor diri di pejabat SPRM Melaka sebulan sekali sehingga kes selesai.
Peguam P. Thisharmini yang mewakili Vivekananthan memohon jaminan minimum atas alasan anak guamnya menanggung keluarga, telah berkhidmat selama 18 tahun dalam Angkatan Tentera Malaysia (ATM) dan masih berharap untuk dapat kembali bertugas.
Hakim Elesabet Paya Wan membenarkan lelaki itu diikat jamin sebanyak RM20,000 beserta seorang penjamin bagi kesemua pertuduhan dengan syarat tambahan dimohon pendakwaaan dan menetapkan 5 Jun ini untuk sebutan semula kes.
-- BERNAMA
