GEORGE TOWN, 28 April (Bernama) -- ASEAN Records dan ASIA Records menganjurkan 9th ASEAN Records Gather of Achievers serta 3rd ASIA Records Gather of Achievers, perhimpunan pertama platform itu di Pulau Pinang sejak ditubuhkan pada November 2024.
Majlis dirasmikan Pengerusi Jawatankuasa Pelancongan dan Ekonomi Kreatif Pulau Pinang Wong Hon Wai dan dihadiri beberapa pemimpin negeri serta Ketua Bersama Pengadil ASEAN Records dan ASIA Records Eldrick Koh serta Pengarah ASEAN Records dan ASIA Records Gillian Ooi.
ASEAN Records dan ASIA Records dalam kenyataan hari ini memaklumkan daripada perhimpunan kecil pada November 2024, ASEAN Records telah berkembang menjadi platform pensijilan serantau yang berstruktur.
Ia juga telah menganjurkan sembilan acara Gather of Achievers sepanjang 17 bulan merangkumi Tahun Baharu Cina, Hari Raya, Festival Durian dan pengaktifan awam pusat beli-belah di Pavilion Bukit Jalil, Kuala Lumpur.
“Pencapaian penting berlaku pada 22 Okt 2025 apabila ASIA Records dilancarkan secara rasmi pada Malam Gala ASEAN Records pertama dirasmikan oleh Yang Dipertua Negeri Melaka Tun Mohd Ali Rustam.
“Sejak itu, ASIA Records telah menerima pemegang rekod dari Malaysia, Thailand, Indonesia, Uzbekistan, Kemboja dan China dengan jumlah tontonan gabungan media sosial platform melebihi sembilan juta,” menurut kenyataan itu.
ASEAN Records dan ASIA Records telah mengiktiraf secara sistematik destinasi pelancongan serta makanan Malaysia yang paling signifikan melalui pensijilan rekod yang disahkan dan boleh diukur.
Ia memaklumkan, melalui kerangka kerja itu, platform tersebut mendokumentasikan, mengesahkan dan mempromosikan destinasi pelancongan dan makanan di seluruh rantau ini yang bukan sahaja menonjolkan populariti, tetapi juga kepentingan yang boleh diukur dan didokumentasikan.
Koh berkata pengiktirafan yang diberikan kepada lokasi pelancongan melangkaui gelaran kerana berfungsi sebagai platform yang disahkan dan diiktiraf pada peringkat antarabangsa untuk destinasi terlibat berkongsi kisah mereka kepada khalayak global.
“Ini bukan sekadar mercu tanda. Ia rekod hidup warisan pelancongan, identiti dan tempat dalam kisah yang lebih luas mengenai ASEAN dan Asia,” katanya.
Sementara itu, Ooi berkata setiap Gather of Achievers dirancang dengan teliti bukan sekadar untuk menyampaikan sijil tetapi menghimpunkan penerima pencapaian agar saling memberi inspirasi dan berkembang melangkaui pengiktirafan individu.
Semalam, dua mercu tanda ikonik Pulau Pinang, Fort Cornwallis dan Rizab Biosfera Bukit Bendera diiktiraf di bawah ASEAN Tourism Records dan ASIA Tourism Records pada 9th ASEAN Records Gather of Achievers dan 3rd ASIA Records Gather of Achievers.
Fort Cornwallis menerima pengiktirafan sebagai kubu lama berbentuk bintang tertua yang masih utuh dibina oleh Syarikat Hindia Timur British di Semenanjung Tanah Melayu dan pembinaannya bermula pada 1786 dengan meliputi kira-kira 38,800 meter persegi.
Rizab Biosfera Bukit Bendera Pulau Pinang pula mencipta sejarah sebagai stesen bukit kolonial tertua dalam Rizab Biosfera UNESCO sekali gus memperoleh pensijilan dua peringkat, iaitu ASEAN dan Asia.
Ditubuhkan pada tahun 1788, Rizab Biosfera Bukit Bendera kemudiannya ditetapkan di bawah Program Manusia dan Biosfera (MAB) UNESCO pada tahun 2021, menandakan tempoh 233 tahun antara penubuhannya dan pengiktirafan antarabangsa.
Inisiatif itu sebelum ini diadakan di Melaka apabila Zon Warisan Jonker Walk menerima pensijilan rasmi di bawah gelaran “Kompleks Deretan Rumah Kedai Praperang Tertua dan Terpadat yang Beroperasi Secara Berterusan Sejak sekitar 1700” berdasarkan lebih 1,000 unit rumah kedai praperang meliputi keluasan 332,310.32 meter persegi.
Pada majlis sama, tujuh lagi pencapaian merentasi pelbagai sektor termasuk seni kulinari, pembuatan, teknologi dan pemasaran digital turut menerima pengiktirafan.
Penerima itu ialah Prof Master Chef Michael Ooi Beng Hock, Creative Bliss, Elexer Holding Bhd, H&H Health Care Group (LE AURA), Kota Dine & Coffee, Newpages dan Sintak Kee Foods.
Acara itu turut menyaksikan kemunculan sulung maskot Wira dan Manja, iaitu maskot rasmi Tahun Melawat Malaysia 2026 di Pulau Pinang, melambangkan peranan negeri itu dalam menyokong kempen pelancongan negara.
-- BERNAMA
