AM

KUNJUNGAN WARGA KAMPUNG BATU LAUT KE BERNAMA PERKUKUH PROGRAM SANTUNI MADANI

28/04/2026 03:31 PM

KUALA LUMPUR, 28 April (Bernama) -- Kunjungan masyarakat Kampung Batu Laut yang merupakan Kampung Angkat MADANI Pertubuhan Berita Nasional Malaysia (Bernama) ke Wisma Bernama hari ini menjadi manifestasi penting dalam usaha memperkukuh kerjasama dua hala di bawah Program Santuni MADANI: Satu Pemimpin Satu Kampung.

Ketua Pegawai Eksekutif Bernama Datin Paduka Nur-ul Afida Kamaludin berkata lawatan tersebut juga adalah kesinambungan daripada inisiatif agensi berita itu untuk menyantuni rakyat serta meningkatkan potensi komuniti menerusi libat urus berterusan dan pemantauan berkala.

"Lawatan ini amat besar maknanya kepada kami dan menjadi pemangkin semangat untuk terus memberikan perkhidmatan yang cekap, pantas dan mesra rakyat sebagai sebuah agensi di bawah Kementerian Komunikasi yang menyediakan berita terkini yang sahih dan komprehensif.

"Ia bukan sahaja memperkukuh hubungan Bernama dengan warga Kampung Batu Laut, malah menzahirkan komitmen bersama dalam memelihara warisan negara demi manfaat generasi masa depan, sejajar dengan aspirasi Malaysia MADANI," katanya.

Nur-ul Afida  berkata demikian pada majlis sambutan kunjungan delegasi tersebut di Dewan Bernama di sini. Teks ucapan beliau dibacakan Ketua Khidmat Pengurusan dan Kewangan Bernama merangkap Ketua Program Santuni MADANI Bernama Sharifah Zaini Syed Zain

Sementara itu, Nur-ul Afida berkata menerusi inisiatif Santuni MADANI di kampung berkenaan, pelbagai program disusun oleh Sekretariat Santuni MADANI Bernama bagi tahun ini.

Antaranya ialah Bengkel Terapi Mewarna, Bengkel Kenali Diri, Bengkel Canva, sesi bimbingan bersama AKRAB Bernama, Bengkel Biblioterapi, Bengkel Penulisan, Taklimat Keselamatan Jalan Raya serta Sukan Rakyat.

Nur-ul Afida turut merakamkan ucapan takziah kepada ahli keluarga dan penduduk kampung atas pemergian mantan ketua kampung itu, Allahyarham Subandi Sangadi, yang banyak menyumbang jasa sepanjang tempoh kerjasama dalam pelaksanaan program sebelum ini.

Beliau turut menzahirkan ucapan tahniah kepada Abdul Wafiq Sani atas pelantikan sebagai Ketua Kampung yang baharu dan berharap amanah tersebut dilaksanakan dengan penuh dedikasi.

Abdul Wafiq ketika ditemui Bernama menzahirkan rasa teruja atas kunjungan ke agensi berita itu yang memberi peluang kepada penduduk kampung memahami proses penghasilan berita yang sahih.

"Kami amat teruja untuk mengetahui bagaimana proses berita dikeluarkan ke media dalam bentuk yang sahih. Semoga kunjungan ini dapat mengeratkan lagi hubungan antara Bernama dan Kampung Batu Laut dan saya berharap program-program baik seperti ini akan diteruskan pada masa hadapan," katanya.

Ketibaan delegasi seramai 33 orang pada 10 pagi itu disambut Sharifah Zaini bersama Pemangku Timbalan Ketua Pengarang Perkhidmatan Berita Ekonomi Harlina Samson dan Pengurus Kanan Perpustakaan Digital Bernama Hasnita Ibrahim.

Sempena kunjungan tersebut, warga Kampung Batu Laut turut diraikan dalam majlis jamuan makan tengah hari yang turut dihadiri Nur-ul Afida.

Semasa kunjungan itu, komuniti Kampung Batu Laut itu turut dibawa melawat Perpustakaan Digital, Meja Media Digital, Bernama TV serta Jabatan Pengarang bagi melihat sendiri proses penyaluran berita oleh agensi berita berkenaan.

Delegasi itu turut berpeluang mengikuti sesi temu bual secara langsung di konti Bernama Radio selain diberikan taklimat komprehensif mengenai operasi agensi berita nasional itu secara keseluruhannya.

Kampung Batu Laut yang terletak di Tanjung Sepat, Sepang dipilih sebagai Kampung Angkat MADANI Bernama sejak pelancarannya pada 12 Okt 2024 menerusi inisiatif Program Santuni MADANI (Satu Pemimpin Satu Kampung).

Inisiatif turun padang itu bagi menangani keperluan penduduk setempat di peringkat akar umbi, dengan pelaksanaan pelbagai aktiviti yang memberi fokus kepada menangani keciciran pendidikan, menyantuni rakyat serta memperkasa potensi pembangunan kampung.

-- BERNAMA

 

© 2026 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan