JENAYAH & MAHKAMAH

POLIS TUMPAS KEGIATAN SELUDUP MIGRAN INDONESIA DI KOTA TINGGI

28/04/2026 10:03 AM

KOTA TINGGI, 28 April (Bernama) -- Sebanyak 13 warga Indonesia dan seorang lelaki tempatan ditahan dalam operasi bersepadu membanteras penyeludupan migran di Pantai Sungai Rengit dan Felda Air Tawar di sini, Ahad lepas.

Ketua Polis Daerah Kota Tinggi Supt Yusof Othman berkata bertindak atas maklumat, polis dengan kerjasama tentera daripada Rejimen ke-10 Askar Melayu Diraja (RAMD) Kem Majidee menyerbu sebuah rumah di sekitar kawasan Sungai Rengit, antara 11.45 malam Ahad hingga 4 pagi semalam.

"Kita membuat pemerhatian selama beberapa minit dan berjaya menahan 10 lelaki dan seorang wanita warga Indonesia yang disyaki baru tiba dari negara mereka," katanya dalam kenyataan hari ini.

Yusof berkata pihaknya menjalankan pemeriksaan lanjut dan mendapati kesemua suspek gagal mengemukakan sebarang dokumen perjalanan diri yang sah.

Beliau berkata susulan tangkapan terbabit, pihaknya berjaya menahan dua lagi lelaki warga Indonesia di ladang Felda Air Tawar dan seorang lelaki tempatan yang disyaki turut terlibat dalam kegiatan berkenaan di Felda Air Tawar.

"Kesemua tangkapan dan rampasan dibawa ke Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) di sini untuk siasatan lanjut. Satu kertas siasatan telah dibuka di bawah Seksyen 26A Akta Pemerdagangan Manusia dan Penyeludupan Migran 2007 serta Seksyen 6(1)(c) Akta Imigresen 1959/63," katanya.

Orang ramai yang mempunyai sebarang maklumat berkaitan penyeludupan migran diminta tampil di mana-mana balai polis berdekatan atau melalui hotline IPD Kota Tinggi di talian 07-8831222 bagi membantu siasatan.

-- BERNAMA

© 2026 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan