AM

TAMAN REKA BENTUK IC SEMIKONDUKTOR MALAYSIA AMBIL BEKERJA 302 JURUTERA, SASAR 400 AKHIR TAHUN

28/04/2026 09:55 AM

KUALA LUMPUR, 27 April (Bernama) -- Taman Reka Bentuk IC Semikonduktor Malaysia mencapai kemajuan penting apabila berjaya mengambil bekerja 302 jurutera setakat ini dengan jumlah itu disasar mencecah 400 menjelang akhir tahun, sekali gus mencerminkan perkembangan kukuh industri tersebut.

Inisiatif strategik yang diterajui Perbadanan Teknologi Maklumat dan Ekonomi Digital Selangor (SIDEC), dengan sokongan Kementerian Ekonomi dan Kerajaan Negeri Selangor itu kini berada di landasan untuk mengatasi sasaran awal petunjuk prestasi utamanya (KPI) bagi tahun ini.

SIDEC dalam satu kenyataan memaklumkan kira-kira 80 peratus daripada jurutera yang diambil bekerja ialah graduan baharu, mencerminkan usaha untuk membina generasi baharu bakat semikonduktor Malaysia, ketika syarikat terus mencari sumber profesional berpengalaman untuk mengukuhkan keupayaan teknikal mereka.

Setakat ini terdapat 15 syarikat beroperasi di taman itu yang terlibat dalam sektor seperti pusat data, automotif dan aeroangkasa. 

"Pencapaian penting ini bukan sekadar kejayaan pengambilan pekerja. Ia menandakan kekuatan ekosistem semikonduktor Malaysia yang semakin kukuh dan keyakinan yang semakin meningkat terhadap Selangor sebagai pangkalan untuk reka bentuk dan inovasi cip canggih," menurut kenyataan itu.

Menurut kenyataan itu, inisiatif tersebut juga menyokong aspirasi negara untuk beralih daripada pendekatan "Buatan Malaysia" kepada "JenamaMalaysia" melalui harta intelek domestik yang lebih kukuh dan pembangunan teknologi bernilai tinggi.

Antara pencapaian penting dalam ekosistem ini ialah kerjasama Maistorage dengan NASA, pencapaian Weeroc Space dalam tapeout (peringkat akhir proses reka bentuk), kemajuan cadangan tawaran awam permulaan (IPO) SkyeChip dan pelancaran CL1 oleh Cortical Labs dengan kerjasama DayOne Data Centres.

Bagi menyokong pertumbuhan bakat, Akademi Semikonduktor Lanjutan Malaysia (ASEM) telah melatih 360 pelajar setakat ini, manakala Program Pendidikan Semikonduktor Kebangsaan kini melibatkan 100 pelajar.

Menurut kenyataan itu, ASEM juga sedang memajukan pembangunan bakat melalui Program Pembangunan K-Belia dengan Khazanah Nasional Berhad, di samping kerjasama latihan antarabangsa dengan IIT Madras.

Perkongsian strategik dengan Perbadanan Pembangunan Teknologi Malaysia (MTDC) dan CREST di bawah program SemiconStart dan MyChipStart juga menyokong pertumbuhan ekosistem daripada latihan hingga pengkomersialan.

Bagi menangani kekurangan bakat khusus, ASEM telah memperkenalkan intervensi berstruktur termasuk Program Pendidikan Semikonduktor Global (GSEP) dan inisiatif capaian diaspora yang menyasarkan pelajar Malaysia di luar negara.

-- BERNAMA

© 2026 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan