PONTIAN, 27 April (Bernama) -- Kerajaan akan terus memperkukuh usaha meningkatkan keterjaminan bekalan makanan negara menerusi pelaksanaan pelbagai inisiatif strategik termasuk pembangunan sektor akuakultur yang dilihat berpotensi besar menjadi penyumbang sumber protein domestik.
Menteri Pertanian dan Keterjaminan Makanan Datuk Seri Mohamad Sabu berkata sektor akuakultur di Johor, misalnya, mempunyai potensi luar biasa apabila mencatatkan pengeluaran mencecah hampir 29,000 tan metrik dengan nilai lebih RM796 juta.
“Kita mahu pastikan sokongan kepada pengusaha tempatan terus diperkukuh. Kita bukan sahaja mahu jamin bekalan makanan negara sentiasa cukup, tapi kita nak ekonomi rakyat juga terus melimpah ruah melalui sektor ini,” katanya menerusi hantaran di laman Facebook.
Terdahulu hari ini beliau mengadakan lawatan ke projek akuakultur AR Aqua Farming di Pekan Nanas bagi meninjau keupayaan sektor akuakultur dalam menyokong keterjaminan bekalan makanan negara.
Mohamad berkata beliau kagum melihat projek berkenaan yang mempunyai hatcheri, kolam arowana, dan kolam air tawar yang luas, malah syarikat itu juga menjadi pembekal utama ikan keli dan patin untuk pasaran borong di sekitar Johor.
“Saya ambil maklum beberapa cabaran dihadapi pengusaha kita. Isu fasiliti, ancaman memerang, hinggalah kesan banjir yang menjejaskan stok induk arowana, semuanya dalam perhatian. Malah, keperluan teknologi seperti sistem solar dan pam air juga kritikal untuk pastikan kos operasi lebih cekap,” katanya.
Sementara itu Jabatan Perikanan dalam satu kenyataan memaklumkan kerajaan akan melaksanakan Program Pemerkasaan Agromakanan Negara (PPAN) 2026 yang melibatkan peruntukan keseluruhan berjumlah RM18.5 juta.
PPAN itu melibatkan 23 projek strategik di bawah Jabatan Perikanan Malaysia dengan penglibatan Kerajaan Negeri melalui Unit Perancang Ekonomi Negeri (UPEN).
Program berkenaan merupakan kesinambungan agenda strategik Kementerian Pertanian dan Keterjaminan Makanan (KPKM) yang disokong oleh peruntukan keseluruhan berjumlah RM300 juta bagi 2026 serta RM1 bilion bagi tempoh 2026–2030.
Menurut kenyataan itu, projek tersebut merangkumi pembangunan subsektor akuakultur serta Sumber Perikanan Tangkapan (SPT) yang melibatkan pemodenan infrastruktur, peningkatan pengeluaran serta pengurusan sumber secara mampan di seluruh negara.
Bagi negeri Johor, sebanyak RM1.45 juta diperuntukkan untuk melaksanakan beberapa inisiatif utama termasuk Program Peningkatan Produktiviti Industri Akuakultur Ikan Makan, Projek Peningkatan Pengeluaran Estet Kerang serta Program Transformasi Ekonomi Komuniti Perikanan.
-- BERNAMA
