KUALA LUMPUR, 27 April (Bernama) -- Biodiesel perlu dilihat sebagai penampan tambahan kepada keselamatan tenaga berbanding lindung nilai yang kekal atau menyeluruh terhadap risiko diesel import, menurut CIMB Securities.
Dalam laporan Malaysia ESG Monitor: April 2026 hari ini, CIMB Securities memaklumkan biodiesel membantu mengurangkan kebergantungan pada diesel import dengan memanfaatkan bekalan minyak sawit domestik Malaysia, memperkukuh keselamatan tenaga, terutamanya semasa gangguan terhadap laluan utama seperti Selat Hormuz.
“Kerajaan percaya bahawa penggunaan biodiesel yang meningkat akan membantu meluaskan ketersediaan bekalan diesel negara, disokong oleh pelan mitigasi biobahan api, menaik taraf secara berperingkat depoh biodiesel 20 peratus (B20) dan B30 di bawah Rancangan Malaysia Ke-13 (RMK13) serta persediaan untuk pelaksanaan mandatori B30 bagi sektor komersial dan pengangkutan awam,” menurutnya.
CIMB Securities berpendapat bahawa penggunaan meluas campuran (B20/B30) yang lebih tinggi memerlukan langkah-langkah menaik taraf yang ketara terhadap infrastruktur penyimpanan, logistik dan pengedaran manakala kebolehsuaian untuk semua enjin diesel masih tidak sekata.
“Selain itu, kos biodiesel adalah berkaitan dengan harga minyak sawit mentah (MSM), yang boleh menjadi tidak menentu,” katanya.
Menurut CIMB Securities, infrastruktur akan menjadi faktor penting dalam meningkatkan skala biodiesel di Malaysia berikutan mandat campuran yang lebih tinggi memerlukan lebih daripada sekadar bekalan yang mencukupi.
“Pelaksanaan B20 di Malaysia masih terhad kepada Langkawi, Labuan dan Sarawak, dan kerajaan sebelum ini menyatakan bahawa kira-kira RM643 juta diperlukan untuk memperluas infrastruktur B20 ke seluruh negara,” katanya.
Pada 14 April lepas, kerajaan Malaysia mengumumkan bahawa ia bersetuju untuk menaikkan mandat biodiesel semasa B10 (10 peratus) bagi sektor pengangkutan kepada B15, bermula dengan pelaksanaan awal B12, seiring dengan usaha mencari sumber bahan api alternatif untuk menyokong keselamatan tenaga berikutan konflik berterusan di Asia Barat.
Sementara itu, CIMB Securities memaklumkan industri plastik berdepan impak langsung daripada konflik berterusan di Asia Barat berikutan sistem petrokimia Asia bergantung pada bahan mentah dari Timur Tengah, dengan kira-kira 60 hingga 70 peratus bekalan nafta terdedah kepada gangguan di Selat Hormuz.
Menurutnya, sebarang gangguan di Selat Hormuz akan turut menjejaskan kira-kira 16 peratus daripada perdagangan produk minyak global, dengan implikasi yang amat ketara terhadap gas petroleum cecair (LPG) dan nafta.
Pada 17 April, Persatuan Pekilang Plastik Malaysia (MPMA) memaklumkan pihaknya menjangka industri pembuatan plastik akan kekal tidak menentu dalam jangka pendek hingga sederhana disebabkan lonjakan harga minyak yang didorong oleh konflik Asia Barat dan gangguan bekalan.
“Ini mengehadkan ketersediaan bahan mentah petrokimia, membawa kepada kelewatan pengeluaran, margin keuntungan yang kecil dan potensi kekurangan bekalan serta inflasi dalam sektor hiliran utama, berikutan harga resin melonjak lebih 100 peratus kepada melebihi US$1,500–US$2,000 (US$1 = RM3.96) bagi setiap tan dengan caj tambahan,” menurut CIMB Securities.
-- BERNAMA
