KOTA KINABALU, 27 April (Bernama) -- Kerajaan negeri dicadangkan supaya memperluas penggunaan tenaga solar sebagai sumber elektrik mampan di pedalaman Sabah.
Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Nabawan Datuk Abdul Ghani Mohamed Yassin (GRS-Nabawan) berkata inisiatif itu penting bagi memastikan tiada lagi rakyat, khususnya di kawasan terpencil berdepan kekangan bekalan elektrik.
“Saya menyeru agar usaha mempergiat dan memperluas pelaksanaan projek-projek bekalan alternatif seperti tenaga solar dipercepatkan ke seluruh pelosok negeri. Inisiatif ini amat penting bagi memastikan tiada rakyat yang tercicir daripada arus pembangunan.
“Justeru, adakah terdapat perancangan khusus untuk membangunkan sistem tenaga solar di kawasan-kawasan terpencil sebagai sumber bekalan elektrik yang mampan?” katanya ketika membahaskan ucapan dasar Yang Dipertua Negeri Sabah Tun Musa Aman pada persidangan Dewan Undangan Negeri Sabah hari ini.
DUN Nabawan terletak di bawah Parlimen Pensiangan, kira-kira 173 kilometer dari Kota Kinabalu.
Sementara itu, Abdul Ghani berkata isu pemilikan tanah turut memerlukan perhatian segera daripada kerajaan negeri, terutama melibatkan penduduk di Nabawan yang telah lama mengusahakan kebun dan membina kediaman, namun masih belum memiliki geran sah sehingga hari ini.
Beliau berkata keadaan itu bukan sahaja menimbulkan ketidakpastian, malah menjejaskan akses kepada bantuan atau subsidi pertanian kerajaan.
Justeru, Abdul Ghani menggesa agar proses pengukuran, pengesahan dan pemberian geran tanah dipercepatkan secara lebih tuntas.
Beliau berkata sektor pertanian juga perlu diperkasa demi keterjaminan makanan negeri, dengan memberi keutamaan kepada tanaman padi, selain memperkukuh rantaian nilai pertanian melalui pembangunan tanaman hiliran, sambil menegaskan Sabah tidak boleh lagi terus bergantung kepada hasil mentah semata-mata.
Menurut Abdul Ghani, pengukuhan tanaman padi adalah amat penting bagi mengurangkan kebergantungan kepada beras import, selain kerjasama dengan syarikat berkaitan kerajaan juga perlu untuk memastikan pelaksanaan projek lebih tersusun dan terkawal.
-- BERNAMA
