AM

ANUGERAH BUKU PNM IKTIRAF 20 KARYA TEMPATAN

24/04/2026 03:00 PM

PUTRAJAYA, 24 April (Bernama) -- Sebanyak 20 karya tempatan menerima pengikitrafan menerusi Anugerah Buku Perpustakaan Negara Malaysia (PNM) 2025/2026 anjuran Kementerian Perpaduan Negara (KPN).

Anugerah Buku PNM merupakan platform pengiktirafan tertinggi bagi karya tempatan berkualiti dan berimpak tinggi dalam usaha memartabatkan industri perbukuan negara.

 Bertemakan ‘Perbukuan Wadah Perpaduan Negara’, anugerah itu mengangkat peranan buku sebagai medium penting dalam menyatukan masyarakat, menyebarkan ilmu serta memperkukuh nilai dan identiti nasional.

Menteri Perpaduan Negara Datuk Aaron Ago Dagang dalam kenyataan hari ini berkata penganjuran Anugerah Buku PNM 2025/2026 bukan sahaja mengiktiraf kecemerlangan penulis dan penerbit, malah menjadi pemangkin kepada penghasilan karya yang lebih kreatif, inovatif dan berdaya saing di peringkat global.

“Ia juga membuka ruang kolaborasi strategik antara pemain industri sekali gus memperkukuh ekosistem perbukuan negara,” katanya.

Selaras dengan perkembangan teknologi, edisi kali ini memperkenalkan kategori baharu iaitu Anugerah Pilihan Pembaca Buku Digital, yang dimenangi buku digital berjudul Belajar Laravel Melalui Contoh oleh Mohd Hafiz Suhaimi (Bahasa Melayu) dan Positive Emotions in Teaching and Learning karya Dr Tamil Selvan Ramis (Bahasa Inggeris).

Kategori Fiksyen Dewasa dianugerahkan kepada karya Sirat Figura oleh W.B. Rendra (Bahasa Melayu); Sembang Kopitiam-39A Bread & Butter Malaysian Stories oleh Adrian Yuen Beng Lee dan Bernard Manickam (Bahasa Inggeris); Liu Su Di oleh Li Zishu (Bahasa Cina) dan Novel Sanivini  oleh S. Annamalai (Bahasa Tamil).

Karya terpilih bagi Kategori Bukan Fiksyen Dewasa ialah Rumah Kelantan Tiang 12: Sebuah Perjuangan Memartabatkan Warisan oleh Johan Ariff Ismail (Bahasa Melayu); The Journey Of Ang Eng: Nyonya Kebaya Makers oleh YuLin Lim, ChungHau Lim dan Peter Soh (Bahasa Inggeris); Yi Dong Bin Cheng: Yi Zuo Cheng Shi De Yi Shu Wen Hua Chuang Zao Li (Kesenian di Pulau Pinang: Kreativiti Seni dan Budaya Bandar) oleh Dr Boey Teik Soon (Bahasa Cina); dan Carey Theevu: Tamilarin Varalaadru Tadam oleh Dr S Arunasalam (Bahasa Tamil).

Anugerah Penerbit diterima Penerbitan Pelangi Sdn Bhd, manakala Anugerah Khas Juri diberikan kepada Kalsom Taib dan Hamidah Abdul Hamid bagi karya bertajuk Malaysia’s Culinary Heritage.

-- BERNAMA

© 2026 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan