AM

PERPUSTAKAAN DIGITAL BERNAMA ANJUR "JOM BACA 10 MINIT", GALAK BUDAYA MEMBACA

23/04/2026 07:44 PM

KUALA LUMPUR, 23 April (Bernama) -- Perpustakaan Digital Pertubuhan Berita Nasional Malaysia (Bernama) menyemarakkan kempen budaya membaca menerusi program “Jom Baca Bersama Untuk 10 Minit” dan “Hari Terbuka Perpustakaan Digital” di sini hari ini.

Pengurus Kanan Perpustakaan Digital Bernama Hasnita Ibrahim berkata program itu diadakan serentak dengan “Kempen Membaca 10 Minit” oleh Perpustakaan Negara di seluruh negara bagi meningkatkan minat dan aktiviti membaca sempena Hari Buku dan Hak Cipta Sedunia.

Turut hadir pada program itu Ketua Pengarang Bernama Arul Rajoo Durar Raj, Timbalan Ketua Pengarang Perkhidmatan Berita Ekonomi Harlina Samson dan Ketua Khidmat Pengurusan dan Kewangan Sharifah Zaini Syed Zain.

Hasnita berkata antara pengisian utama program berkenaan ialah taklimat Malaysia MADANI bagi memberi kefahaman tentang visi, objektif dan elemen dasar itu serta pelbagai aktiviti pembacaan selain galakan peminjaman buku.

“Selain itu, terdapat aktiviti kuiz berkaitan sistem Bernama Library and Infolink Service (BLIS) bagi meningkatkan kesedaran dan mendapatkan maklum balas untuk penambahbaikan sistem perpustakaan digital,” katanya ketika ditemui pada program itu di Perpustakaan Digital Bernama.

Beliau berkata walaupun masyarakat kini lebih cenderung kepada kandungan digital, budaya membaca buku fizikal masih relevan kerana ia memberi nilai sentuhan dan pengalaman berbeza yang tidak dapat digantikan sepenuhnya oleh medium digital.

Sementara itu, petugas Bernama Maizatul Jamny Muhammad Rosli yang turut menjayakan program Jom Baca Bersama 10 Minit bertemakan “Membaca Membina Bangsa” berkata membaca 10 minit sehari sudah memadai untuk memulakan tabiat membaca secara konsisten kerana ia mudah diamalkan. 

“Bahan ringan seperti artikel pendek, cerpen, atau buku motivasi sesuai kerana mudah dihadam dalam masa singkat,” katanya.

Seorang lagi peserta program, wartawan penyiaran Nur Khamelia Syuhada Razali berkata program itu juga dapat meningkatkan kesedaran terhadap kepentingan mendapatkan maklumat sahih dalam kalangan masyarakat.

Pustakawan Puteri Izzah Atirah Safri Hamdan pula berkata program itu sememangnya relevan dalam meningkatkan kesedaran bahawa tabiat membaca boleh dimulakan dengan langkah kecil dalam suasana santai, khususnya bagi golongan muda.

Kempen Jom Baca 10 Minit dianjurkan setiap tahun di peringkat kebangsaan oleh Kementerian Perpaduan Negara menerusi Perpustakaan Negara, dan turut dilaksanakan di pelbagai tempat seperti institusi pendidikan bagi menyemarakkan budaya membaca. 

-- BERNAMA

 

 

© 2026 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan