SANDAKAN, 22 April (Bernama) -- Kementerian Dalam Negeri (KDN) melalui Jabatan Pendaftaran Negara mempunyai pangkalan data dan rekod terperinci bagi menentukan status kewarganegaraan individu dalam proses menggantikan dokumen pengenalan diri mangsa kebakaran di Kampung Bahagia di sini.
Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim berkata rekod sedia ada yang lengkap itu sekali gus dapat menepis kebimbangan pelbagai pihak mengenai kemungkinan proses berkenaan disalah guna oleh individu bukan warganegara yang cuba mengambil kesempatan.
"Ada kebimbangan takut orang-orang yang bukan warganegara berdaftar... tidak mungkin, kerana daftar kita ada... rekodnya ada dan kita akan pastikan,” katanya kepada pemberita selepas melawat mangsa kebakaran di Pusat Pemindahan Sementara Dewan Projek Perumahan Rakyat Taman Batu Sapi hari ini.
Turut bersama-sama beliau dalam lawatan itu ialah Ketua Menteri Sabah Datuk Seri Hajiji Noor, Menteri Pendidikan Fadhlina Sidek dan Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Sabah dan Sarawak) Datuk Mustapha Sakmud.
Pada Ahad lepas, kebakaran besar di perkampungan atas air itu memusnahkan kira-kira 1,000 rumah dan melibatkan kawasan seluas lebih empat hektar.
Perdana Menteri berkata dalam insiden kebakaran itu, ramai mangsa kehilangan dokumen penting seperti kad pengenalan, sijil kelahiran serta dokumen perkahwinan yang memerlukan tindakan segera, dan kerajaan akan memastikan penggantian dokumen berkenaan disegerakan.
Beliau berkata perkara itu telah dibincangkan dengan Menteri Dalam Negeri Datuk Seri Saifuddin Nasution Ismail bagi menggerakkan Jabatan Pendaftaran Negara untuk turun padang membantu mangsa.
Anwar juga berkata perancangan jangka sederhana dan panjang bagi pembangunan semula kawasan terjejas akan diselaras di peringkat daerah serta negeri sebelum dimuktamadkan.
Beliau berkata pembangunan semula perlu dilaksanakan secara berhati-hati dengan mengambil kira keutamaan dan strategi pembangunan negeri.
“Saya fikir wajar kita ambil satu pendekatan segera iaitu melihat kepada keperluan negeri, keutamaan negeri dan strategi pembangunan yang ditetapkan oleh negeri,” katanya sambil menegaskan bahawa bantuan sementara kepada mangsa akan terus dipercepat.
-- BERNAMA
