OVIEDO (Sepanyol), 23 April (Bernama-Anadolu) -- Syarikat penapis minyak utama Sepanyol berkata bekalan bahan api penerbangan dijamin mencukupi sehingga Mei, namun memberi amaran kemungkinan kekurangan pada musim panas jika konflik Iran berterusan, lapor Anadolu Ajansi memetik akhbar Sepanyol El Pais pada Rabu.
Syarikat penapis minyak itu turut sedang berusaha memastikan jumlah bekalan mencukupi untuk Jun, menurut sumber industri yang dipetik akhbar berkenaan.
Syarikat seperti Repsol, Moeve dan BP meningkatkan pengeluaran bagi memenuhi permintaan yang meningkat menjelang musim pelancongan puncak.
Situasi ini berlaku ketika Sepanyol bersedia untuk musim pelancongan rekod, dengan negara itu menyasarkan lebih 100 juta pelawat antarabangsa tahun ini. Sebarang gangguan bekalan bahan api penerbangan boleh menjejaskan kapasiti penerbangan pada tempoh puncak.
Menurut International Energy Agency, Eropah ketika ini mempunyai sekitar enam minggu rizab bahan api penerbangan.
Ketua Pegawai Eksekutif Repsol, Josu Jon Imaz, baru-baru ini memberi amaran tentang kemungkinan kekurangan bahan api di Eropah akibat perang, khususnya melibatkan bahan api penerbangan. Namun beliau tetap optimis dengan kedudukan Sepanyol berbanding negara lain.
Menteri Peralihan Ekologi Sepanyol, Sara Aagesen, cuba menenangkan orang ramai pada Selasa dengan berkata negara itu menghasilkan kira-kira 80 peratus bahan api penerbangan yang digunakan sendiri, menjadikannya berada dalam kedudukan “istimewa” berbanding banyak negara Eropah lain.
Di peringkat Eropah, Pesuruhjaya Tenaga Dan Jørgensen mengambil nada lebih berhati-hati, memberi amaran bahawa gangguan pasaran bahan api boleh berlarutan berbulan-bulan walaupun konflik berakhir segera.
Beliau berkata Suruhanjaya Eropah sedang memantau paras stok dengan rapat dan boleh mencadangkan perkongsian serta pengagihan semula bekalan antara negara anggota jika berlaku kekurangan.
Aagesen menyatakan Sepanyol terbuka untuk menyertai mekanisme tersebut.
Di seluruh Eropah, syarikat penerbangan sudah mula menyesuaikan operasi akibat peningkatan kos bahan api dan kebimbangan bekalan.
Syarikat Jerman Lufthansa berkata ia akan mengurangkan 20,000 penerbangan antara April dan Oktober bagi menjimatkan bahan api, bersama syarikat lain seperti KLM dan SAS.
Setakat ini, syarikat penerbangan Sepanyol belum mengumumkan pembatalan, sebaliknya merancang menambah kapasiti untuk musim panas dengan sokongan penapisan domestik dan strategi lindung nilai kewangan.
Ketua persatuan syarikat penerbangan Sepanyol ALA berkata tiada ancaman bekalan setakat ini, namun pengguna dinasihatkan membeli tiket lebih awal untuk mengelakkan kenaikan harga.
“Apa yang jelas ialah terdapat peningkatan kos kepada syarikat, dan tidak jelas bahagian mana yang boleh ditampung oleh margin serta bahagian mana yang akan dipindahkan kepada kenaikan harga,” kata Presiden ALA, Javier Gandara.
-- BERNAMA-ANADOLU
TAG: Sepanyol, bahan api penerbangan, kekurangan, musim panas, Iran, AS, konflik
VMP LZA KLS
