AM

ISU BEKALAN BAHAN PETROKIMIA DITELITI SECARA MENDALAM, DIJANGKA DIBINCANG SEMULA DALAM MTEN - FAHMI

22/04/2026 06:05 PM

PUTRAJAYA, 22 April (Bernama) -- Kerajaan sedang meneliti secara mendalam isu bekalan bahan petrokimia yang berpotensi menjejaskan rantaian pembungkusan makanan dan barangan keperluan harian susulan krisis bekalan global, kata Jurucakap Kerajaan MADANI Datuk Fahmi Fadzil.

Menteri Komunikasi itu berkata perkara tersebut telah dibincangkan dalam Mesyuarat Majlis Tindakan Ekonomi Negara (MTEN) semalam, dengan beberapa penelitian lanjut sedang dilaksanakan oleh Kementerian Ekonomi serta Kementerian Pelaburan, Perdagangan dan Industri (MITI).

Fahmi berkata kerajaan menyedari bahawa gangguan terhadap bekalan bahan petrokimia bukan sahaja melibatkan plastik malah turut menjejaskan pengeluaran bahan asas lain seperti ammonia, urea dan helium yang digunakan secara meluas dalam pelbagai sektor industri.

"Pihak kerajaan cakna, faham dan prihatin terhadap kesan kepada rantaian bekalan akibat penutupan Selat Hormuz... beberapa penelitian tambahan masih perlu dilaksanakan dan dapatan berkenaan dijangka dibincangkan semula dalam mesyuarat (MTEN) minggu hadapan," katanya pada taklimat krisis tenaga global dan sidang media pasca-Mesyuarat Kabinet di sini hari ini.

Beliau berkata sebagai langkah awal bagi membantu syarikat terkesan, Persatuan Bank-Bank Dalam Malaysia telah mengumumkan bahawa perusahaan kecil dan sederhana (PKS) atau perusahaan mikro, kecil dan sederhana (PMKS) yang berdepan kesukaran kewangan boleh berunding terus dengan bank komersial bagi mendapatkan kelonggaran terhadap kemudahan kewangan sedia ada.

Fahmi berkata pendekatan itu bertujuan memastikan kelangsungan operasi industri, khususnya sektor pembuatan dan pembungkusan makanan, tidak terjejas secara ketara jika gangguan bekalan bahan mentah berterusan.

Pada 17 April lepas, Persatuan Pengilang Plastik Malaysia (MPMA) memaklumkan bahawa industri pembuatan plastik negara dijangka terus mengalami ketidaktentuan dalam jangka pendek hingga sederhana berikutan konflik di Asia Barat.

Situasi itu sekali gus berkemungkinan besar mengakibatkan kekurangan barangan keperluan, kenaikan kos dan tekanan inflasi hiliran yang akhirnya menjejaskan kos sara hidup secara keseluruhan.

Dalam perkembangan lain, Fahmi berkata permohonan Gabungan Kelab Media Malaysia (GKMM) supaya kuota 300 liter BUDI RON95 dikekalkan buat pengamal media dijangka turut dibincangkan dalam mesyuarat MTEN akan datang.

Beliau berkata setakat ini, perkara berkenaan belum dibincangkan secara khusus kerana tumpuan mesyuarat semalam melibatkan sektor lain di bawah Kementerian Pelancongan, Seni dan Budaya (MOTAC) serta MITI.

"Perkara ini dalam pengetahuan MTEN tetapi masih dalam giliran untuk perbincangan... yang semalam dibincangkan melibatkan MOTAC dan MITI, belum lagi Kementerian Komunikasi," katanya.

Fahmi juga berkata pihaknya telah meminta supaya isu melibatkan Kementerian Komunikasi termasuk permohonan daripada sektor industri kreatif dibawa ke perhatian MTEN dalam mesyuarat akan datang.

-- BERNAMA

 

 

© 2026 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan