SANDAKAN, 21 April (Bernama) -- Penduduk Kampung Bahagia, di sini mendedahkan Ketua Kampung Sharif Hassim Sharif Titing sering mengingatkan mereka supaya sentiasa berwaspada terhadap risiko kebakaran terutama ketika memasak serta memastikan bekalan elektrik ditutup sebelum meninggalkan rumah.
Rata-rata penduduk yang ditemui memberitahu peringatan tersebut disampaikan secara konsisten pada setiap Jumaat bagi meningkatkan kesedaran mengenai bahaya kebakaran di kampung berkenaan.
Seorang penduduk, Rambu Julmute, 32, berkata Sharif Hassim akan mengingatkan mereka agar berhati-hati ketika memasak dan tidak lupa menutup dapur gas, namun masih terdapat segelintir yang lalai.
“Ketua kampung sentiasa mengingatkan penduduk agar berhati-hati ketika memasak dan tidak lupa menutup gas. Beliau sangat bagus tetapi masih ada penduduk alpa dan pandang remeh dengan pesanannya,” katanya kepada Bernama.
Pada Ahad, sebanyak 1,000 rumah musnah dalam kebakaran di Kampung Bahagia sehingga menyebabkan lebih 9,000 penduduk terjejas akibat bencana itu.
Rambu berkata tragedi kira-kira 1 pagi di perkampungan atas air itu menyebabkan rumah yang didiami bersama keluarga sejak lebih 30 tahun musnah.
“Kakak saya bersama anaknya tinggal di pusat pemindahan sementara, manakala saya tinggal di pondok kecil di tapak kebakaran kerana mahu menjaga barang. Antara barang musnah termasuk bot bersama enjin 40 kuasa kuda, kerugian dialami dianggar lebih RM30,000,” katanya.
Seorang lagi mangsa kebakaran, Siti Patmah Maddam, 37, berkata ketua kampung akan meluangkan masa setiap Jumaat menyampaikan peringatan mengenai risiko kebakaran di masjid kampung.
“Perkara yang sering diingatkan ialah supaya berhati-hati ketika memasak. Setiap minggu beliau mengingatkan bahawa kebakaran besar boleh berlaku jika penduduk lalai,” katanya.
Katanya peringatan itu bukan sekadar nasihat kosong, sebaliknya terbukti apabila kebakaran yang berlaku dipercayai berpunca daripada api ketika memasak nasi.
Siti Patmah berkata ketika menyedari kejadian itu, dia bersama suami segera membawa enam anak mereka berusia antara sembilan bulan hingga enam tahun ke kawasan lapang di daratan.
“Tiada barang lain sempat diselamatkan, hanya fikir anak-anak. Syukur waktu itu jambatan masih belum musnah terbakar. Kami sempat sampai ke daratan bawa anak-anak,” katanya.
Bagi Siumrah Aplasin, 50, kebakaran besar itu perlu dijadikan pengajaran supaya tidak mengabaikan nasihat disampaikan pemimpin setempat.
“Daripada sebuah rumah yang terbakar, kebakaran merebak sehingga memusnahkan kira-kira 1,000 rumah yang dibina sejak berpuluh tahun lepas.
“Rumah yang sarat dengan memori dan dibina hasil keringat kerja dan menabung kini musnah. Rasa cukup sedih dan kami tidak tahu bagaimana kehidupan selepas ini,” katanya.
-- BERNAMA
