DUNIA

HARGA TENAGA MENINGKAT SUSULAN KETIDAKPASTIAN GENCATAN SENJATA AS-IRAN

22/04/2026 09:20 AM

ISTANBUL, 22 April (Bernama-Anadolu) -- Harga komoditi tenaga melonjak pada Selasa apabila ketidaktentuan mengenai gencatan senjata antara Amerika Syarikat (AS) dan Iran serta prospek rundingan baharu mencetuskan kebimbangan terhadap gangguan bekalan global, lapor Anadolu Ajansi.

Minyak mentah Brent berada sekitar US$98.50 setong setakat 1840 GMT, manakala penanda aras AS, West Texas Intermediate (WTI), meningkat kepada kira-kira US$89.60.

Harga gas asli Eropah turut naik 8.2 peratus, dengan niaga hadapan TTF didagangkan sekitar €43.7 (US$51.3) bagi setiap megawatt-jam, ketika pasaran mengambil kira risiko yang lebih rendah terhadap gangguan bekalan yang lebih serius.

Kenaikan itu berlaku apabila pasaran menilai semula risiko bahawa usaha diplomatik mungkin gagal melanjutkan gencatan senjata selama dua minggu, yang dijadual berakhir pada petang Rabu waktu Washington.

Presiden AS Donald Trump berkata gencatan senjata itu telah dicabuli “berkali-kali” oleh Iran dan memberi bayangan bahawa lanjutan adalah “amat tidak mungkin” sekiranya tiada persetujuan dicapai terlebih dahulu.

Keraguan turut timbul selepas delegasi AS yang dijadual ke Pakistan pada Selasa bagi pusingan kedua rundingan dengan Iran menangguhkan lawatan itu ekoran “mesyuarat lanjut mengenai dasar” di Washington, menurut laporan media AS.

Naib Presiden JD Vance yang dijangka ke Islamabad, kekal di Washington untuk menghadiri mesyuarat itu di Rumah Putih, menurut seorang pegawai AS seperti dipetik The New York Times. 

Pakistan berkata pada Selasa bahawa keputusan Iran untuk menghadiri rundingan dengan AS masih belum dimuktamadkan. 

“Maklum balas rasmi daripada pihak Iran berhubung pengesahan delegasi untuk menghadiri Rundingan Damai Islamabad masih ditunggu,” tulis Menteri Penerangan Pakistan Attaullah Tarar di platform media sosial X.

Kedua-dua pihak mengadakan pusingan pertama rundingan bersemuka peringkat tinggi di Pakistan awal bulan ini, namun rundingan itu berakhir tanpa sebarang perjanjian.

Pasaran tenaga kekal amat sensitif terhadap perkembangan berkaitan gencatan senjata dan Selat Hormuz, laluan penting bagi penghantaran minyak mentah dan bahan api global, dengan setiap petanda ketegangan diplomatik mencetuskan kebimbangan mengenai bekalan.

-- BERNAMA-ANADOLU

© 2026 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan