SANDAKAN, 21 April (Bernama) -- Tiada kata mampu menggambarkan luluhnya hati apabila rumah yang dibina arwah suami lebih 30 tahun lepas, musnah sekelip mata dalam kebakaran.
Bagi Dambung Norin, 55, seorang daripada mangsa kebakaran besar di Kampung Bahagia di sini, kediaman tersebut bukan sekadar tempat berteduh, tetapi juga menjadi ruang yang menyimpan seribu satu kenangan bersama anak-anak dan arwah suaminya.
Menceritakan detik cemas itu, Dambung berkata pada mulanya dia bersama anak perempuannya melihat api masih berada jauh di hujung kampung berdekatan kawasan kilang minyak, manakala aak dan menantu lelakinya turut membantu orang kampung memadamkan api.
"Kami tidak sangka sama sekali api itu akan merebak dengan begitu pantas hingga depan lalu menyambar rumah kami. Tiada barang yang sempat diselamatkan kecuali dokumen penting. Malah, wang tunai untuk urusan keluarga juga hangus," katanya kepada Bernama hari ini.
Pada Ahad lepas, kebakaran besar di perkampungan atas air Kampung Bahagia di sini memusnahkan kira-kira 1,000 rumah, melibatkan kawasan seluas lebih empat hektar.
Kini, Dambung terpaksa berteduh di khemah sumbangan rakan di kawasan lapang berhampiran tapak rumahnya dengan anggaran kerugian mencecah RM50,000.
Dia sangat berharap ada bantuan daripada pihak kerajaan atau pertubuhan bukan kerajaan (NGO) dalam bentuk bahan binaan kayu untuk membolehkannya membina semula rumah di tapak sama.
Bagi Rizma Baharin Nasirun, 34, tragedi itu merampas hadiah perkahwinan paling berharga pemberian bapanya. Kerugian diangagrkan melebihi RM50,000, apatah lagi rumahnya baru sahaja dilengkapi perabot dan dhiasan baharu sempena Aidilfitri.
"Sedih memikirkannya kerana rumah ini bukan sekadar harta, tetapi kenangan dan peninggalan bapa untuk saya. Buat masa ini, perancangan saya adalah untuk terus tinggal di dalam khemah di sini sehingga ada bantuan perumahan disalurkan," katanya.
Rizma berkata menyewa rumah baharu bukanlah satu pilihan mudah berikutan kos sara hidup yang tinggi serta deposit sewaan yang membebankan, khususnya bagi mereka yang kehilangan segalanya.
Nasib sama turut menimpa Ibrahim Mamat, 58, seorang pemandu bas yang menetap di kampung itu sejak 1984 apabila rumah serta kedai runcit miliknya musnah, dengan kerugian dianggarkan sekitar RM80,000.
Lebih menyedihkan, dalam kekalutan menyelamatkan barangan seperti tong gas dan air minuman ke bahu jalan, empat tong gas miliknya hilang manakala mesih jahit kesayangan isterinya tidak sempat diselamatkan.
"Saya masih buntu memikirkan rancangan seterusnya, cuma berharap ada bantuan perumahan, kelengkapan membina semula atau bantuan kewangan," katanya, yang terpaksa tidur di tapak runtuhan rumahnya bagi menjaga sisa barangan runcit yang masih ada, sementara isterinya berlindung di PPS.
-- BERNAMA
