KUALA LUMPUR, 21 April (Bernama) -- Allianz General Insurance Company (Malaysia) Berhad (Allianz General) meningkatkan penyampaian penyelesaian inovatif dan kemudahan pelanggan dengan memperluas perkhidmatan bergerak bagi pengecasan kenderaan elektrik (EV) dan penggantian cermin hadapan.
Ketua Pegawai Eksekutif Allianz General Sean Wang berkata inisiatif itu mencerminkan komitmen syarikat dalam memenuhi keperluan pelanggan yang sentiasa berubah, di samping mengutamakan kemudahan pelanggan.
“Perkhidmatan Pengecasan EV Bergerak dan Penggantian Cermin Hadapan Bergerak adalah contoh jelas bagaimana kami memenuhi keperluan pelanggan melalui penyelesaian jangka panjang dan praktikal,” katanya dalam kenyataan hari ini.
Wang berkata bermula tahun ini, Allianz General memperluas perkhidmatan pengecasan EV bergerak ke kawasan utama di luar Lembah Klang, termasuk Pulau Pinang, Kuantan dan Johor Bahru.
Perkhidmatan itu menyediakan pengecasan pantas 15 minit di lokasi, menawarkan jarak perjalanan melebihi 50 kilometer ke fasiliti pengecasan yang terdekat, serta memastikan ketenangan minda untuk pemandu dalam situasi yang tidak dijangka.
Wang berkata perkhidmatan itu adalah yang pertama seumpamanya dalam industri dan adalah sebahagian daripada perlindungan EV Shield Allianz General.
“Kami berbangga untuk menjadi peneraju inovasi dalam industri, menyediakan perkhidmatan yang bukan hanya memenuhi tetapi melebihi jangkaan pelanggan.
“Pada masa yang sama, kami kekal komited dalam menyokong peralihan yang lestari dengan memudahkan pelanggan menghadapi cabaran menggunakan EV dengan perkhidmatan yang inovatif,” katanya.
Beliau berkata Perkhidmatan Penggantian Cermin Hadapan Bergerak Allianz General pula menyediakan kemudahan menukar atau membaiki cermin hadapan yang rosak di lokasi diinginkan tanpa memerlukan dokumen yang rumit.
Pelanggan hanya perlu menghubungi talian 1800-22-5542 dan kereta perkhidmatan berjenama Allianz akan dihantar ke lokasi pilihan mereka dalam masa sejam.
“Perkhidmatan itu juga menggunakan cermin hadapan ganti yang asli dan mempunyai jaminan sepanjang hayat,” katanya sambil menambah perkhidmatan berkenaan telah membantu ratusan kes di seluruh negara setiap tahun serta mendapat maklum balas baik daripada pelanggan.
Menurut kenyataan itu, melalui kedua-dua perkhidmatan berkenaan, Allianz General akan meneruskan komitmennya dalam inovasi dan keutamaan pelanggan dan meletakkan penanda aras baharu untuk kecemerlangan perkhidmatan.
-- BERNAMA
