JENAYAH & MAHKAMAH

KANAK-KANAK LELAKI MAUT, IBU CEDERA PARAH AKIBAT KEMALANGAN

24/04/2026 10:33 PM

BUKIT MERTAJAM, 24 April (Bernama) -- Seorang kanak-kanak lelaki berusia dua tahun maut manakala ibunya cedera parah selepas motosikal mereka terbabas dan melanggar tembok batu di Jalan Song Ban Kheng, di sini hari ini.

Ketua Polis Daerah Seberang Perai Tengah SAC Helmi Aris berkata pihaknya menerima maklumat kemalangan pada 7.45 pagi.

“Kanak-kanak tersebut meninggal dunia ketika menerima rawatan di Hospital Bukit Mertajam akibat kecederaan di kepala. Wanita tempatan berusia 30 tahun itu juga mengalami kecederaan pada kepala.

“Seorang kanak-kanak perempuan tujuh tahun mengalami kecederaan ringan dan dirawat di hospital sama manakala kanak-kanak perempuan lima tahun tidak cedera,” katanya dalam kenyataan malam ini.

Wanita itu difahamkan dalam perjalanan untuk menghantar dua anaknya ke sekolah.

Kes disiasat mengikut Seksyen 41(1) Akta Pengangkutan Jalan 1987.

-- BERNAMA

 

 


 

© 2026 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan