AM

PENGOPERASIAN SK BANDAR PUTRA 2 KURANGKAN KESESAKAN SEKOLAH SEDIA ADA

21/04/2026 03:45 PM

KULAI, 21 April (Bernama) -- Sekolah Kebangsaan (SK) Bandar Putra 2 kini berada dalam fasa akhir persediaan sebelum dibuka dan dijangka dapat mengurangkan kesesakan murid di sekolah berhampiran.

Timbalan Menteri Pendidikan Wong Kah Woh berkata sekolah baharu bernilai RM35.6 juta itu telah siap sepenuhnya selepas pembinaannya bermula pada Ogos 2021 dan diserahkan kepada Kementerian Pendidikan Malaysia (KPM) pada akhir tahun lepas.

“Ketika ini, kita sedang melaksanakan persediaan terakhir termasuk penyelarasan murid serta kesiapsiagaan guru sebelum sekolah ini beroperasi.

"Untuk pengoperasian pertama tahun ini, sekolah akan dibuka bagi tahun dua, tiga dan lima terlebih dahulu,” katanya kepada pemberita selepas lawatan ke sekolah berkenaan di sini hari ini.,

Hadir sama Ahli Parlimen Kulai yang juga Timbalan Menteri Komunikasi Teo Nie Ching.

Wong berkata SK Bandar Putra 2 dilengkapi 36 bilik darjah, tiga kelas prasekolah merangkumi dua prasekolah perdana dan satu prasekolah Program Pendidikan Khas Integrasi (PPKI), di samping dua kelas PPKI.

Beliau berkata dengan kapasiti kira-kira 1,260 murid bagi satu sesi, tidak termasuk prasekolah dan PPKI, pembukaan sekolah itu dijangka dapat mengurangkan kepadatan di SK Bandar Putera dan SK Putera Utama yang kini mencatat purata lebih 35 murid setiap kelas.

Menurutnya, jumlah murid di SK Bandar Putra dijangka dapat dikurangkan daripada 2,165 kepada 1,042 orang manakala SK Putra Utama daripada 1,302 kepada 1,177 orang, tertakluk kepada keputusan ibu bapa.

Sementara itu, Wong berkata sambutan menggalakkan diterima sekolah baharu itu apabila menerima lebih 230 pendaftaran murid tahun satu bagi 2027.

“Apabila beroperasi sepenuhnya, sekolah ini dianggarkan memerlukan kira-kira 80 orang guru,” katanya, sambil menambah tarikh rasmi pembukaan sekolah akan diumumkan selepas semua persediaan dimuktamadkan.

-- BERNAMA

© 2026 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan