MELAKA, 17 April (Bernama) -- Tender pembinaan Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Melaka Tengah dan Balai Polis Tanjung Minyak dijangka dibuka seawal Februari tahun depan.
Timbalan Menteri Dalam Negeri Datuk Seri Dr Shamsul Anuar Nasarah berkata kedua-dua projek itu kini diperhalusi menerusi Makmal Kajian Nilai (VA Lab) di bawah Kementerian Ekonomi bagi memuktamadkan skop kerja dan kos.
“Proses kajian nilai dijadualkan Jun ini sebelum tender ditawarkan kepada kontraktor berkelayakan. Kita harap pembinaan dapat dimulakan pertengahan tahun depan,” katanya kepada pemberita selepas Majlis Ramah Mesra bersama pesara dan anggota Polis Balai Tanjung Minyak, di sini, hari ini.
Turut hadir, Exco Kanan Perumahan, Kerajaan Tempatan, Saliran, Perubahan Iklim dan Pengurusan Bencana negeri, Datuk Rais Yasin serta Ketua Polis Melaka Datuk Dzulkhairi Mukhtar.
Sementara itu, Rais berkata pembinaan Balai Polis Tanjung Minyak perlu disegerakan berikutan kekurangan anggota, iaitu hanya 17 orang bagi mengawal kira-kira 9,000 penduduk.
Katanya nisbah anggota dan penduduk yang tinggi di kawasan Paya Rumput menuntut kemudahan baharu bagi meningkatkan keselamatan.
Sebelum ini, Kerajaan Persekutuan merancang membina kompleks IPD Melaka Tengah baharu di Krubong di atas tapak seluas 4.94 hektar dengan kos kira-kira RM250 juta.
-- BERNAMA
