KUALA LUMPUR, 15 April (Bernama) -- Persatuan Penterjemah Malaysia (PPM) terus mempertingkatkan amalan profesional dalam bidang penterjemahan menerusi penganjuran Kursus Kod Etika dan Tatakelakuan Penterjemah, selaras usaha memperkemas standard etika ketika permintaan perkhidmatan penterjemahan meningkat dalam era kecerdasan buatan (AI) dan globalisasi.
Kursus itu antara syarat wajib bagi pentauliahan penterjemah oleh persatuan berkenaan.
Presiden PPM Dr Hasuria Che Omar berkata kursus berkenaan bertujuan memberikan pendedahan kepada penterjemah dan jurubahasa mengenai prinsip etika serta tatakelakuan profesional yang perlu dipatuhi dalam pelaksanaan tugas.
Beliau yang juga Pengarah Kursus PPM berkata perbincangan dalam kursus itu merangkumi pemahaman menyeluruh mengenai prinsip kod etika dalam penterjemahan sebagai panduan menangani isu etika yang kompleks, selain membantu peserta membuat keputusan beretika dalam tugasan harian.
“Kursus ini turut meningkatkan kepekaan penterjemah dan jurubahasa terhadap tanggungjawab profesional mereka kepada pelanggan, rakan sekerja, pihak berkepentingan, masyarakat serta institusi penterjemahan,” katanya kepada Bernama.
Beliau berkata kod etika berkenaan menekankan beberapa prinsip utama termasuk memastikan ketepatan dan kesetiaan kepada teks asal tanpa penyelewengan makna, menjaga kerahsiaan maklumat pelanggan dan dokumen, serta mengelakkan konflik kepentingan yang boleh menjejaskan neutraliti tugasan.
“Selain itu, aspek integriti profesional turut diberi penekanan, termasuk larangan terhadap sebarang bentuk penipuan, manipulasi hasil terjemahan dan penyalahgunaan kedudukan profesional,” katanya.
Kursus anjuran PPM itu akan diadakan secara bersemuka pada Sabtu, 18 April, dari 8 pagi hingga 5 petang di Aras 5, Wisma Dewan Bahasa dan Pustaka (DBP), Kuala Lumpur.
Ia akan dikendalikan oleh Tuan Bashir Basalamah, penterjemah dan jurubahasa bertauliah NAATI (National Accreditation Authority for Translators and Interpreters) Australia, yang mempunyai kepakaran dalam bidang perniagaan, perundangan dan teknikal.
Yuran penyertaan ditetapkan sebanyak RM225 bagi ahli PPM dan RM250 bagi bukan ahli.
“Penganjuran kursus ini mencerminkan komitmen berterusan PPM dalam memperkukuh kompetensi serta profesionalisme pengamal industri penterjemahan, sekali gus memastikan standard etika profesion terus dipelihara,” kata Dr Hasuria.
-- BERNAMA
