IPOH, 15 April (Bernama) -- WEIL Hotel diiktiraf secara rasmi oleh the Malaysia Book of Records (MBOR) bagi kategori hotel pertama di Malaysia yang menerapkan prinsip Alam Sekitar, Sosial dan Tadbir Urus (ESG) bertauliah, sekali gus melakar pencapaian signifikan dalam landskap industri hospitaliti tanah air.
Pengarah Urusannya, Liew Yu-Wei berkata pengiktirafan itu mencerminkan komitmen berterusan WEIL Hotel dalam memperkukuh penerapan prinsip ESG secara menyeluruh merentasi setiap lapisan operasinya.
“Pengiktirafan ini bukan sekadar tentang menjadi yang pertama. la juga mengenai tanggungjawab untuk terus berkembang, beroperasi dan menyumbang secara bermakna kepada masa depan industri hospitaliti tempatan.
“Kami juga melihat ESG bukan sebagai satu keperluan semata-mata, sebaliknya menjadi asas penting dalam membentuk operasi yang lebih bertanggungjawab, berdaya tahan serta memberi impak positif kepada alam sekitar dan komuniti,” katanya.
Beliau berkata demikian ketika ditemui pada sidang media selepas Majlis Penyampaian Sijil sempena pengiktirafan WEIL Hotel sebagai Pemegang Rekod Kebangsaan Hotel ESG Bertauliah Pertama di WEIL Hotel, di sini hari ini.
Terdahulu, Yu-Wei menerima pengiktirafan berkenaan daripada wakil MBOR Megat Faris Megat Muzaffar Shah dalam majlis yang turut dihadiri kira-kira 100 tetamu jemputan terdiri daripada agensi kerajaan, pihak berkuasa pelancongan dan pemain industri.
Yu-Wei berkata selain pengiktirafan MBOR, WEIL Hotel turut mencipta sejarah sebagai hotel pertama di Malaysia menerima pensijilan ESG di bawah program diterajui Persatuan Hotel Malaysia (MAH) dengan kerjasama SGS Malaysia dan Saimatrix Integrated serta disokong oleh Kementerian Pelancongan, Seni dan Budaya (MOTAC) pada November lepas.
“Pada bulan yang sama, hotel ini turut dianugerahkan pensijilan LEED Gold O+M pertama di Malaysia oleh U.S. Green Building Council, sekali gus mengukuhkan komitmennya terhadap piawaian kelestarian global,” katanya.
Sementara itu, Megat Faris berkata pengiktirafan yang diberikan kepada WEIL Hotel melalui proses penilaian dan verifikasi yang teliti bagi memastikan semua kriteria ditetapkan dipenuhi sepenuhnya.
Beliau berkata kategori ESG bukan sekadar rekod biasa, sebaliknya melibatkan piawaian komprehensif merangkumi aspek alam sekitar, sosial dan tadbir urus yang memberi impak luas termasuk di peringkat global.
“Kami mengambil masa kira-kira sebulan untuk membuat penelitian terperinci, dengan semakan khusus dilaksanakan bagi setiap komponen ESG bagi memastikan ia benar-benar menepati standard yang ditetapkan.
“Proses ini penting kerana pengiktirafan yang diberikan bukan sahaja mencerminkan pencapaian sesebuah organisasi, tetapi juga kredibiliti dan integriti dalam sesuatu entiti,” katanya.
-- BERNAMA
