AM

SAMBUTAN TAMIL CHITIRAI PUTHANDU, VAISAKHI SIMBOL PERMULAAN PENUH HARAPAN DAN TEKAD

14/04/2026 01:00 PM

KUALA LUMPUR, 14 April (Bernama) -- Sambutan Tamil Chitirai Puthandu dan Hari Vaisakhi yang diraikan serentak hari ini menjadi simbol permulaan baharu penuh ilham, harapan, tekad, pengukuhan nilai murni serta pemerkasaan perpaduan dalam kalangan masyarakat berbilang kaum di negara ini.

Menteri Perpaduan Negara Datuk Aaron Ago Dagang berkata tahun baharu ini juga merupakan peluang untuk membaharui azam, memperkukuh nilai kemanusiaan serta menyemai semangat perpaduan yang lebih utuh dalam kehidupan seharian.

Beliau berkata institusi keluarga memainkan peranan penting sebagai asas perpaduan negara kerana nilai hormat, kasih sayang, toleransi dan saling memahami dipupuk sejak kecil dalam persekitaran keluarga.

“Anak-anak yang dibesarkan dalam suasana penuh keharmonian akan membesar sebagai individu yang menghargai kepelbagaian.

“Justeru, setiap ibu bapa dan anggota keluarga memainkan peranan penting sebagai pendidik awal dalam membentuk generasi yang berjiwa besar dan berakhlak tinggi,” katanya menerusi hantaran di Facebook rasmi beliau hari ini.

Aaron berkata perpaduan juga tidak bermula di pentas besar, tetapi di meja makan, ruang tamu, dan dalam setiap interaksi harian dengan keluarga, dan apabila nilai ini disemai secara konsisten, ia menjadi asas kukuh kepada keharmonian masyarakat Malaysia yang berbilang kaum dan agama.

“Perpaduan ialah kunci kepada kekuatan negara. Tanpa perpaduan, kemajuan sukar dicapai dan kestabilan akan terancam.

“Namun, dengan perpaduan yang utuh, Malaysia mampu berdiri megah sebagai sebuah negara yang aman, inklusif dan progresif. Kepelbagaian yang kita miliki bukanlah satu kelemahan, tetapi aset terbesar negara yang perlu dipelihara dan diraikan bersama,” katanya.

Sementara itu, Menteri Digital Gobind Singh Deo berkata sambutan Vaisakhi ialah perayaan komuniti Sikh bagi memperingati kelahiran Khalsa yang berteraskan nilai keberanian, kesaksamaan dan tekad mempertahankan kebenaran.

Beliau berkata perayaan itu bukan sahaja berkait dengan musim menuai, malah turut melambangkan kekuatan identiti, perpaduan serta semangat komuniti Sikh.

“Bersempena dengan sambutan yang mulia ini, semoga anda dikurniakan limpahan kegembiraan, kasih sayang dan kebahagiaan,” katanya. 

Dalam pada itu, Menteri Sumber Manusia Datuk Seri R. Ramanan berkata sambutan serentak Chitirai Puthandu, Vaisakhi dan Vishu bukan sekadar meraikan tahun baharu bagi komuniti Tamil, Sikh dan Malayalee, tetapi turut menjadi simbol perpaduan, kekayaan budaya serta pengukuhan jati diri dan rohani.

Beliau berkata dalam semangat tahun baharu itu, rakyat diharap dapat bermuhasabah, memperbaharu niat dan mengukuhkan nilai-nilai murni dalam kehidupan, di samping terus membimbing generasi muda dengan ilmu, disiplin dan jati diri yang kukuh demi masa depan negara.

“Selamat menyambut tahun baharu, semoga terus diberkati dengan kesejahteraan, kemakmuran dan perpaduan yang berpanjangan,” katanya.

-- BERNAMA 

© 2026 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan