AM

AGONG, RAJA PERMAISURI ZAHIR UCAPAN SELAMAT HARI VAISAKHI, SELAMAT TAHUN BAHARU TAMIL

14/04/2026 10:30 AM

KUALA LUMPUR, 14 April (Bernama) -- Yang di-Pertuan Agong Sultan Ibrahim dan Raja Permaisuri Agong Raja Zarith Sofiah menzahirkan ucapan selamat menyambut Hari Vaisakhi dan Tahun Baharu Tamil kepada seluruh masyarakat Sikh dan Tamil di negara ini.

Ucapan berkenaan dikongsikan menerusi Facebook Sultan Ibrahim Sultan Iskandar.

Menerusi hantaran itu, Seri Paduka Baginda turut menzahirkan harapan agar sambutan berkenaan akan terus memperkukuh semangat perpaduan, keharmonian serta saling menghormati antara kaum dan agama di negara ini.

Sultan Ibrahim bertitah Malaysia ialah sebuah negara berbilang kaum, agama dan budaya yang hidup dalam suasana aman dan harmoni.

Seri Paduka Baginda bertitah keharmonian dalam kalangan rakyat tanpa mengira agama dan bangsa ialah tunjang kemakmuran negara.

“Moga tahun ini membawa kegembiraan, kebahagiaan dan kesejahteraan kepada semua yang meraikannya,” titah Seri Paduka Baginda.

Hari Vaisakhi diraikan oleh masyarakat Sikh menandakan permulaan tahun baharu dalam kalendar Sikh, manakala Tahun Baharu Tamil atau Puthandu disambut oleh masyarakat Tamil sebagai permulaan tahun baharu dalam kalendar Tamil.

-- BERNAMA

© 2026 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan