AM

MADANI MART TERIMA SAMBUTAN HANGAT ORANG RAMAI

04/04/2026 05:10 PM

KUANTAN, 4 April (Bernama) -- Orang ramai terus memberikan sambutan menggalakkan terhadap cawangan pertama MADANI Mart di Indera Mahkota 8 (IM8), apabila pelanggan dilihat mula beratur dari awal pagi walaupun premis hanya dibuka 10 pagi pada hari kedua operasinya.

Pengarah Urusan MADANI Mart Mohd Nor Hilmi Nawi, 28, berkata sambutan itu menunjukkan minat tinggi masyarakat terhadap inisiatif penawaran barangan asas pada harga lebih rendah serta program Jualan Rahmah yang disediakan.

“Alhamdulillah, pada hari kedua kami melihat sambutan yang sangat baik. Kami jangka orang ramai datang kerana Jualan Rahmah yang dilaksanakan bermula semalam hingga hari ini,” katanya ketika ditemui Bernama di sini hari ini.

Semalam, Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim merasmikan kedai runcit MADANI Mart yang dilaksanakan sebagai inisiatif kerajaan untuk meringankan kos sara hidup rakyat.

Inisiatif MADANI Mart yang diterajui Yayasan MADANI merupakan konsep kedai komuniti yang menyediakan barangan keperluan harian pada harga berpatutan dan mudah dicapai oleh rakyat, berteraskan slogan “Kedai Runcit Harga Rahmah.”

Mohd Nor Hilmi  berkata barangan yang ditawarkan pada harga lebih rendah termasuk beras, telur, ayam dan gula, yang merupakan keperluan asas isi rumah.

Beliau berkata selepas tempoh Jualan Rahmah, pihaknya akan berusaha mengekalkan harga barangan asas pada kadar lebih mampu milik bagi membantu orang ramai mengurus kos sara hidup.

Bercakap mengenai sistem pembayaran MyKasih, beliau memaklumkan pihaknya merancang untuk menyediakan sistem tersebut pada masa akan datang bagi memudahkan penerima bantuan membuat pembelian.

Dalam pada itu, Mohd Nor Hilmi berkata keputusan untuk membuka MADANI Mart tercetus daripada minatnya terhadap konsep Program Jualan Rahmah yang sebelum ini diadakan secara bergerak dan dalam tempoh singkat.

“Saya sebagai golongan muda melihat Jualan Rahmah biasanya tidak kekal di satu tempat. Jadi saya rasa lebih baik diwujudkan sebuah kedai tetap supaya orang ramai tahu lokasi dan masa operasinya tanpa perlu mencari-cari,” katanya.

Sementara itu, pelanggan, Fariza Zainal, 30, berkata harga barangan di premis berkenaan lebih murah berbanding di pasar raya biasa serta menyediakan pilihan barangan yang pelbagai.

“Bagi saya, MADANI Mart ini sangat murah dan membantu golongan B40 dalam mendapatkan barang keperluan. Pilihan barangan juga banyak dan harganya berpatutan,” katanya.

Rosnita Ahmad, 42, dari Kampung Padang di sini pula berkata beberapa barangan seperti sabun dan minuman malt yang dibelinya didapati lebih murah berbanding di luar.

“Saya berharap tempoh Jualan Rahmah dapat dilanjutkan supaya lebih ramai penduduk sekitar Kuantan mendapat manfaat. Kalau ada sistem pembayaran MyKasih di sini, tentu lebih ramai yang akan datang,” katanya.

-- BERNAMA 

 

 

© 2026 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan