AM

PMR 2026 PERAK: JUALAN RAHMAH, KHIDMAT GUNTING RAMBUT PERCUMA ANTARA TERIMA SAMBUTAN HANGAT PENGUNJUNG

04/04/2026 01:08 PM

IPOH, 4 April (Bernama) -- Hari kedua penganjuran Program MADANI Rakyat (PMR) 2026 Perak di Bulatan Sultan Azlan Shah di sini menyaksikan reruai penganjuran Program Jualan Rahmah menjadi antara yang paling ramai dikunjungi.

Walaupun cuaca agak panas, pengunjung tidak ketinggalan mengambil kesempatan untuk mendapatkan barangan keperluan pada harga berpatutan seperti telur, minyak masak dan beras.

Seawal 9 pagi tadi pengunjung telah memenuhi segenap lokasi PMR 2026 Perak bagi mendapatkan perkhidmatan yang disediakan, mengambil bahagian secara interaktif di pelbagai reruai kerajaan serta mengikuti program termasuk di pentas utama dan pentas mini.

Antara program itu ialah pocket talk program kebun bandar oleh Kementerian Perumahan dan Kerajaan Tempatan (KPKT), kempen penjimatan air oleh Suruhanjaya Perkhidmatan Air Negara (SPAN) serta pengenalan MyDigital ID oleh Jabatan Pendaftaran Negara (JPN).

Isu keselamatan sosial dan kelestarian juga tidak ketinggalan diketengahkan menerusi penerangan Pertubuhan Keselamatan Sosial (PERKESO) dan sesi pengurusan sisa elektronik (e-waste) oleh Jabatan Alam Sekitar (JAS).

Selain itu, reruai Jabatan Sukarelawan Malaysia (RELA) Negeri Perak juga mencuri tumpuan apabila menawarkan perkhidmatan menggunting rambut percuma kepada pengunjung pelbagai lapisan umur, sebagai satu daripada pendekatan khidmat bakti agensi itu yang lebih dekat dengan rakyat.

Selain itu reruai berkenaan turut mengadakan pendaftaran ahli baharu RELA yang boleh dibuat melalui sistem MyRELA.

PMR 2026 Perak yang berlangsung 9 pagi hingga 10 malam pada semalam dan hari ini, manakala esok hingga 6 petang, merupakan lokasi penganjuran pertama bagi tahun ini dengan kerjasama Unit Penyelarasan Lonjakan Prestasi (PACU), Jabatan Perdana Menteri selaku sekretariat induk serta KPKT sebagai kementerian peneraju.

Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim dijadual merasmikan PMR 2026 Perak petang ini.

-- BERNAMA 

 

 

© 2026 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan