AM

LENGGONG RINTIS HAB PENDIDIKAN TERBUKA MELALUI KERJASAMA AKADEMIK

02/04/2026 11:07 AM

Oleh Razif Rosli

LENGGONG, 2 April (Bernama) -- Lenggong bakal dibangunkan sebagai pusat pendidikan terbuka bertaraf antarabangsa menerusi penglibatan 23 universiti tempatan dalam pelbagai program penyelidikan dan pembangunan berteraskan konsep geopelancongan serta pendidikan.

Pengerusi Lenggong Geopark Datuk Seri Dr Shamsul Anuar Nasarah berkata usaha itu dimulakan melalui penganjuran Lawatan Akademik Lenggong Geopark "Lenggong Tapak Pendidikan Terbuka", yang menghimpunkan institusi pengajian tinggi awam dan swasta bagi memperkenalkan keunikan serta potensi Lenggong secara lebih menyeluruh.

“Fokus kita selepas ini adalah membangunkan Lenggong sebagai pusat pendidikan terbuka, sekali gus membolehkan pelbagai kajian dan penyelidikan dijalankan oleh universiti, khususnya dalam bidang geologi, biodiversiti, ekologi dan warisan budaya.

"Bukan itu sahaja ia akan menjadi pemangkin kepada pembangunan modal insan dan memperkukuh identiti Lenggong sebagai pusat ilmu dan warisan yang bertaraf antarabangsa kelak,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika ditemui Bernama selepas majlis penandatangan memorandum persefahaman (MoU) antara Universiti Teknologi Malaysia (UTM) dan Badan Pengurusan Lenggong Geopark, di sini malam tadi, yang dirasmikan Menteri Besar Datuk Seri Saarani Mohamad.

Shamsul Anuar yang juga Timbalan Menteri Dalam Negeri merangkap Ahli Parlimen Lenggong berkata kerjasama itu menyaksikan penubuhan UTM Geopark Geotechnology Centre di Lenggong sebagai langkah awal memperkukuh peranan kawasan berkenaan sebagai hab ilmu dan penyelidikan.

“Ini permulaan kepada lebih banyak program jangka pendek dan panjang yang akan dilaksanakan dan kita menjangkakan lebih banyak universiti akan terlibat selepas ini di Lenggong. 

"Bukan itu sahaja, pengiktirafan Lenggong sebagai UNESCO Global Geopark serta Tapak Warisan Dunia UNESCO (Pertubuhan Pendidikan, Sains dan Kebudayaan Bangsa-Bangsa Bersatu) membuka ruang luas untuk diketengahkan sebagai pusat rujukan akademik global," katanya. 

Beliau berkata kekayaan khazanah semula jadi dan warisan di Lenggong termasuk hutan, kepelbagaian flora dan fauna, formasi batuan serta budaya setempat menyediakan peluang luas untuk penyelidikan dan penerbitan ilmiah.

“Semua ini perlu didokumentasikan, dibukukan dan dijadikan jurnal bukan sahaja untuk rujukan rakyat Malaysia, tetapi juga masyarakat antarabangsa,” katanya.

-- BERNAMA

© 2026 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan