DUNIA

NIAGA HADAPAN MSM DITUTUP TINGGI, MENJEJAKI KEUNTUNGAN MINYAK MENTAH

02/04/2026 11:02 PM

Oleh Engku Shariful Azni Engku Ab Latif

KUALA LUMPUR, 2 April (Bernama) -- Niaga hadapan minyak sawit mentah (MSM) di Bursa Malaysia Derivatives ditutup tinggi hari ini, menjejaki keuntungan dalam pasaran minyak mentah, kata seorang peniaga.

Harga minyak mentah Brent meningkat 8.19 peratus kepada US$109.29 setong.

Peniaga proprietari Iceberg X Sdn Bhd, David Ng berkata jangkaan inventori yang lebih rendah pada minggu-minggu akan datang turut melonjakkan sentimen pasaran.

“Kami melihat harga disokong melebihi paras RM4,750 dan rintangan pada RM4,900,” katanya kepada Bernama.

Pada penutupan, kontrak April 2026 dan Mei 2026 naik RM20 setiap satu kepada RM4,685 serta RM4,753 setiap tan, Jun 2026 pula menambah RM22 kepada RM4,791.

Kontrak Julai 2026 dan September 2026, masing-masing menokok RM26 setiap tan kepada RM4,796 serta RM4,737 setiap tan dan Ogos 2026 menyaksikan kenaikan sejumlah RM29 kepada RM4,774.

Jumlah dagangan susut kepada 80,412 lot berbanding 172,873 lot yang dicatatkan pada Rabu, manakala kepentingan terbuka turun kepada 249,183 kontrak daripada 252,970 kontrak.

Harga fizikal MSM untuk April Selatan meningkat RM30 kepada RM4,750 setiap tan.

-- BERNAMA

© 2026 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan