YAN, 28 Mac (Bernama) -- Perbadanan Pengurusan Sisa Pepejal dan Pembersihan Awam (SWCorp) mengeluarkan 1,342 Notis Pemberitahuan Kesalahan (NPK) di tujuh negeri setakat ini membabitkan kesalahan pembuangan sampah kecil di tempat awam di bawah Akta Pengurusan Sisa Pepejal dan Pembersihan Awam 2007 (Akta 672).
Ketua Pegawai Eksekutif SWCorp Khalid Mohamed berkata individu terlibat terdiri daripada 1,058 warga tempatan dan 284 warga asing hasil tindakan penguatkuasaan yang dipertingkatkan bagi membanteras amalan pembuangan sampah kecil.
Beliau berkata sebagai sebahagian daripada strategi penguatkuasaan bersepadu, SWCorp turut melaksanakan Perintah Khidmat Masyarakat (PKM) Siri Ketiga secara serentak hari ini melibatkan 78 pesalah di enam negeri.
Lokasi pelaksanaan PKM berkenaan ialah di Dataran Sena, Kangar; Pantai Murni, Yan; Dataran Merdeka, Kuala Lumpur; Taman Tasik Bandar, Temerloh; Jalan BBN 1/2, Bandar Prima, Senawang; dan Kampung Senibong, Johor Bahru.
“Hukuman ini dilaksanakan sebagai pendekatan penguatkuasaan yang bukan sahaja memberi pengajaran, malah membuka peluang pemulihan kepada pesalah melalui penglibatan langsung dalam aktiviti komuniti.
“Pendekatan ini juga bertujuan menyemai nilai tanggungjawab terhadap kebersihan persekitaran dalam kalangan masyarakat,” katanya ketika meninjau pelaksanaan PKM di Pantai Murni di sini hari ini.
Khalid berkata sepanjang pelaksanaan PKM, pesalah terlibat menjalankan kerja pembersihan termasuk pembersihan siar kaki dan jalan awam, sistem saliran, tandas awam serta kawasan pantai bagi memastikan persekitaran awam sentiasa bersih dan selamat.
Beliau berkata bagi memastikan pelaksanaan berjalan lancar, SWCorp mendapatkan khidmat nasihat Kementerian Kesihatan (KKM) dan Jabatan Meteorologi Malaysia (MetMalaysia) susulan keadaan cuaca tidak menentu serta suhu tinggi yang melanda negara ketika ini.
Katanya Pejabat Kesihatan Daerah turut menempatkan petugas di lokasi program bagi memastikan aspek keselamatan, kesihatan dan pemantauan dilaksanakan secara menyeluruh.
“PKM bukan sekadar bentuk hukuman, sebaliknya merupakan mekanisme pendidikan sivik kepada masyarakat supaya lebih peka terhadap kesan tindakan membuang sampah secara tidak bertanggungjawab,” katanya.
Beliau berkata PKM Siri Keempat dijadual melibatkan lima pesalah di Perlis pada 29 Mac ini, manakala PKM Siri Kelima membabitkan enam pesalah pada 30 Mac.
Dalam perkembangan berkaitan, Khalid berkata SWCorp turut mempergiat operasi penguatkuasaan lain termasuk Ops Perantau di kawasan Rehat dan Rawat (R&R) dari 7 hingga 19 Mac lepas, yang mengeluarkan 49 NPK hasil 40 operasi di 19 lokasi manakala Ops Ambang Aidilfitri pada 20 Mac pula merekodkan 36 NPK hasil 26 operasi di 35 lokasi.
Beliau berkata sepanjang 2025 pula, sebanyak 3,816 operasi pembasmian dan penutupan tapak sampah haram dilaksanakan di seluruh negara, melibatkan pembersihan 1,738.5 tan sisa pepejal dengan kos RM475,666.53.
Katanya sebanyak 21 kes pembuangan sampah haram turut dihadapkan ke mahkamah dengan jumlah denda RM335,000 hasil daripada 4,268 operasi risikan yang dijalankan.
“Selain itu, penggunaan 47 unit kamera litar tertutup (CCTV) membantu mengesan tujuh kes pembuangan sampah haram sehingga membawa kepada tindakan terhadap premis terlibat.
“Bagi tempoh 2014 hingga 31 Jan 2026, sebanyak 192 aset telah disita dan lima aset dilucutkan hak sebagai langkah tegas membanteras pelupusan sisa pepejal secara haram,” katanya.
Beliau berkata pendekatan bersepadu itu diyakini mampu meningkatkan kesedaran masyarakat terhadap kepentingan menjaga kebersihan persekitaran selaras dengan aspirasi kerajaan untuk mewujudkan Malaysia yang bersih, indah dan sejahtera.
– BERNAMA
