MELAKA, 22 Mac -- Hari Seniman yang disambut pada 22 Mac setiap tahun, mengiktiraf peranan besar para seniman dalam mencorakkan pemikiran, menyatukan masyarakat serta memperkaya warisan negara.
Ketua Menteri Melaka Datuk Seri Ab Rauf Yusoh berkata sambutan berkenaan adalah simbol penghargaan tertinggi kepada seluruh penggiat seni tanah air, merangkumi bidang perfileman, muzik, penulisan, teater serta semua warga seni yang menyumbang kepada pembangunan budaya dan jati diri bangsa.
"Mewakili kepimpinan Kerajaan Negeri Melaka, saya mengucapkan Selamat Menyambut Hari Seniman kepada seluruh penggiat seni di Malaysia.
"Teruskan berkarya dengan penuh dedikasi demi menyinari kehidupan masyarakat dan memartabatkan seni ke persada lebih tinggi," katanya menerusi hantaran di laman Facebooknya hari ini.
Hari Seniman yang diraikan pada setiap 22 Mac di Malaysia merupakan satu tarikh penuh makna, simboliknya bersempena dengan kelahiran seniman agung negara Allahyarham Tan Sri P Ramlee.
-- BERNAMA
