SEPANG, 28 Mac (Bernama) -- Penerbangan pertama Aero Dili ke Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA) hari ini, menandakan langkah penting dalam meningkatkan kesalinghubungan antara Malaysia dengan Timor-Leste, sekali gus merangsang perdagangan, pelancongan dan hubungan antara rakyat.
Menteri Hal Ehwal Luar dan Kerjasama Timor-Leste Bendito dos Santos Freitas berkata perkembangan itu berlaku tepat pada masanya susulan kemasukan negara berkenaan sebagai anggota ASEAN ke-11 pada Oktober tahun lepas.
"Inilah antara detik paling penting dalam hubungan antara dua negara, terutamanya dari segi kesalinghubungan. Timor-Leste kini memperluas jaringan kesalinghubungannya dengan ASEAN.
"Setakat ini, kami mempunyai penerbangan harian ke Indonesia dan Singapura, tetapi laluan ini sangat penting. Malaysia amat bersejarah kerana di sinilah kami memperoleh keanggotaan penuh dan rakyat kami gembira untuk mengekalkan persahabatan ini," katanya.
Beliau berkata demikian kepada pemberita selepas majlis menyambut ketibaan penerbangan sulung Aero Dili ke Kuala Lumpur di KLIA Terminal 2 di sini.
Penerbangan buat julung-julung kali itu dikendalikan dengan menggunakan pesawat Airbus A319-100 dengan kapasiti tempat duduk sebanyak 122 penumpang.
Perkhidmatan itu akan beroperasi dua kali seminggu (Selasa dan Sabtu), menyediakan pilihan perjalanan yang lebih mudah kepada pelancong dan pengembara perniagaan antara Dili dengan Kuala Lumpur.
Sementara itu, Menteri Pelancongan, Seni dan Budaya Datuk Seri Tiong King Sing dalam ucapannya berkata pengenalan syarikat penerbangan nasional Timor-Leste ke KLIA itu mencerminkan hubungan dua hala yang semakin kukuh dan hasrat bersama untuk meneroka peluang baharu dalam perdagangan dan pelancongan.
"Timor-Leste antara permata tersembunyi terbaik di Asia Tenggara, menawarkan keindahan alam semula jadi yang asli dan sejarah yang menyentuh jiwa. Begitu juga Malaysia yang terus menjadi destinasi utama bagi ekopelancongan, kesejahteraan perubatan dan pengalaman budaya yang pelbagai.
"Hubungan baharu ini hadir pada waktu yang tepat ketika kami mempercepat persiapan bagi Tahun Melawat Malaysia 2026. Kami menyasarkan untuk meletakkan Malaysia sebagai hab serantau pilihan, dan meningkatkan kesalinghubungan dengan pasaran baharu seperti Timor-Leste ialah teras kepada misi itu," katanya.
Tiong turut memuji sinergi antara Aero Dili, Malaysia Airports, Tourism Malaysia dan semua pihak berkepentingan kawal selia yang berusaha gigih untuk menjayakan penerbangan ini, sambil menambah bahawa kerjasama erat awam–swasta seperti ini membolehkan sektor pelancongan terus berkembang.
Teks ucapan Tiong dibacakan oleh Timbalan Ketua Setiausaha (Pengurusan) Kementerian Pelancongan, Seni dan Budaya Datuk S. Surrendren.
-- BERNAMA
