SUKAN

NUR SURAIYA GONDOL EMAS ACARA PECUT DI ACC FILIPINA

28/03/2026 08:36 PM

KUALA LUMPUR, 28 Mac (Bernama) -- Pelumba berbasikal trek para wanita negara Nur Suraiya Muhamad Zamri mencipta sensasi apabila merangkul pingat emas dalam acara pecut di Kejohanan Berbasikal Trek Asia (ACC) 2026 di Velodrom Tagaytay City, Filipina, hari ini.

Nur Suraiya yang beraksi dalam kategori wanita B (kecacatan penglihatan) mempamerkan kayuhan bertenaga untuk mengetepikan pencabar dari Kazakhstan Kalaus Anastassiya 2-0 pada aksi final.

Pingat gangsa diraih rakan senegara Nur Azlia Syafinaz Mohd Zais yang menewaskan seorang lagi pencabar Kazakhstan Zhantore Moldir 2-0 dalam aksi penentuan tempat ketiga. 

Berbeza nasib bagi kategori lelaki B apabila Mohd Khairul Hazwan Wahab terlepas peluang untuk menggondol pingat emas selepas tewas kepada pelumba Jepun Kimura Kazuhei 2-1 pada aksi final dan terpaksa berpuas hati dengan pingat perak. 

Pingat gangsa menjadi milik pelumba Indonesia Nur Fendi yang menewaskan pencabar Kazakhstan Seitzhan Kenzhegul 2-0.  

Seorang lagi pelumba wanita negara Nur Aisyah Mohamad Zubir sekadar menduduki tempat ketujuh dalam acara perlumbaan mata wanita elit selepas mengutip 15 mata, manakala pingat emas, perak dan gangsa masing-masing disambar atlet Uzbekistan, Kozieva Nafosat (35 mata), Leung Wing Yee dari Hong Kong (34 mata) dan atlet Singapura Elizabeth Le Min Liau (31 mata). 

-- BERNAMA

 

 

© 2026 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan