KUALA LUMPUR, 23 Mac (Bernama) -- Hasrat atlet boling negara, Timmy Tan untuk meraih gelaran pertama pada Jelajah Persatuan Pemain Boling Profesional (PBA) tidak kesampaian apabila menamatkan saingan Indiana Classic di tempat keempat, di Amerika Syarikat (AS) pada Ahad.
Pemain berusia 31 tahun itu tersingkir selepas tewas 172-202 kepada atlet tuan rumah, EJ Tackett dalam perlawanan kedua final stepladder di Pro Bowl West, Fort Wayne, Indiana.
Seorang lagi atlet AS, Marshall Kent muncul juara selepas menewaskan rakan senegara, Boog Krol, dengan keputusan 152-136 dalam aksi penentuan kejuaraan.
Terdahulu, Timmy menamatkan pusingan kelayakan di tempat ketiga dengan 8,689 jatuhan pin di belakang Boog Krol yang mendahului kedudukan dengan 8,765 jatuhan pin.
-- BERNAMA
