KUALA LUMPUR, 17 Mac (Bernama) -- Tiga individu yang mengeluarkan kenyataan hingga mencetuskan perdebatan berbaur provokasi berhubung isu agama dan perkauman tiba di mahkamah berasingan pagi ini bagi menghadapi pertuduhan.
Mereka ialah pendakwah bebas Zamri Vinoth di Kompleks Mahkamah Kuala Lumpur, aktivis D. Arumugam atau Arun Dorasamy di Mahkamah Majistret Jawi, Pulau Pinang dan pemandu e-hailing P. Mahendra Bhoopaty di Mahkamah Majistret Seremban, Negeri Sembilan.
Zamri yang memakai sut berwarna biru tiba di mahkamah pada 9.10 pagi dan berdasarkan semakan sistem mahkamah, pertuduhan terhadapnya akan dibacakan di hadapan Majistret Faezahnoor Hassan pada 9 pagi.
Sementara itu, Arun yang memakai sut berwarna gelap tiba di mahkamah pada 8.15 pagi dan turut kelihatan ialah beberapa individu dipercayai untuk memberi sokongan kepadanya.
Mahendra Bhoopaty pula tiba di mahkamah pada 8 pagi.
Semalam, Ketua Polis Negara Datuk Seri Mohd Khalid Ismail berkata empat individu yang mengeluarkan kenyataan hingga mencetuskan perdebatan berbaur provokasi berhubung isu agama dan perkauman akan dituduh di mahkamah berasingan hari ini.
Difahamkan seorang lagi aktivis yang akan didakwa ialah Tamim Dahri di Mahkamah Majistret Langkawi, Kedah.
Kesemua mereka berhadapan pertuduhan di bawah Seksyen 505 (b) Kanun Keseksaan iaitu mengeluarkan kenyataan yang mendatangkan khianat awam dengan niat hendak menyebabkan atau mungkin menyebabkan ketakutan atau kegentaran awam.
-- BERNAMA
