PUTRAJAYA, 15 Mac (Bernama) -- Setiap kementerian serta agensi kerajaan memainkan peranan penting dalam menangani isu berkaitan agama, kaum dan institusi diraja (3R) untuk memastikan keharmonian serta perpaduan di Malaysia terus terpelihara.
Menteri Perpaduan Negara Datuk Aaron Ago Dagang berkata mandat dan tanggungjawab kementerian serta agensi terbabit dalam mengurus dan menangani isu berkaitan 3R dilaksanakan melalui pendekatan keseluruhan negara oleh kerajaan.
Beliau berkata pendekatan ini merangkumi aspek pengumpulan data, pemantauan, intervensi awal, mediasi, penguatkuasaan serta tindakan undang-undang oleh agensi berkaitan bagi memastikan setiap isu ditangani secara berkesan dan bertanggungjawab.
"Kerajaan komited memastikan keharmonian masyarakat, kestabilan negara dan semangat perpaduan sentiasa dipelihara, selaras dengan prinsip menghormati kepelbagaian agama, kaum dan institusi diraja yang menjadi asas kekuatan Malaysia," katanya dalam hantaran di Facebook.
Aaron turut berkongsi mandat dan tanggungjawab Kementerian Perpaduan yang memainkan peranan penting melalui reformative approach seperti intervensi, mediasi dan kesedaran bagi menangani isu-isu sensitif berkaitan agama, kaum serta kenyataan berbaur kebencian.
Turut dikongsi beberapa inisiatif kementerian berkenaan seperti melaksanakan pemantauan terhadap kenyataan berbaur kebencian, keagamaan dan perkauman melalui Sistem eSepakat dan Sistem Rangkaian Aduan Komuniti Awam Nasional (RAKAN), dengan setiap aduan akan disalurkan kepada agensi penguat kuasa berkaitan untuk tindakan segera.
Selain itu, menubuhkan Jawatankuasa Pengurusan Isu Perpaduan (JPIP) merangkumi 12 kementerian dan agensi bagi menyelaras tindakan pantas terhadap isu-isu yang berpotensi menjejaskan perpaduan.
Inisiatif lain membangunkan Dashboard Analitik Perpaduan, iaitu sebuah papan pemuka digital, bagi mengenal pasti lokasi yang berisiko tinggi terhadap ketegangan kaum atau agama serta menyediakan perkhidmatan mediasi melalui pengantara komuniti bagi membantu menyelesaikan konflik di peringkat akar umbi.
Menerusi hantaran itu, Aaron turut berkongsi mandat dan tanggungjawab Kementerian Dalam Negeri (melalui Polis Diraja Malaysia), Kementerian Komunikasi (melalui Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia) serta Kementerian Perumahan dan Kerajaan Tempatan bagi menangani isu 3R.
-- BERNAMA
