BERITA TERGEMPAR   Super League: PDRM FC 1-6 Negeri Sembilan FC | 
 EKONOMI

MRANTI PARK PACU INOVASI BERKAITAN PENYELIDIKAN DAN INDUSTRI

13/03/2026 05:00 PM

KUALA LUMPUR, 13 Mac (Bernama) -- Pemecut Penyelidikan Malaysia untuk Teknologi dan Inovasi (MRANTI) di bawah Kementerian Sains, Teknologi dan Inovasi (MOSTI) sedang memajukan pendekatan berasaskan misi menghubungkan penyelidikan, pembangunan teknologi dan penggunaan industri menerusi MRANTI Park.

Agensi pengkomersialan penyelidikan itu berkata taman seluas 686 ekar di Bukit Jalil itu berperanan sebagai platform inovasi hidup, membolehkan teknologi dibangunkan, diuji dan diperluas dengan kerjasama rakan industri.

"MRANTI Park sudah menjadi tuan rumah kepada lebih 150 syarikat dan institusi teknologi dan komuniti yang semakin berkembang dengan lebih 30,000 pekerja berpengetahuan, disokong oleh kemudahan seperti zon ujian dron, lorong khas untuk kenderaan autonomi (kenderaan tanpa pemandu) dan hab teknologi dikuasakan 5G," katanya dalam satu kenyataan.

Keupayaan berkenaan membolehkan teknologi baharu bergerak melangkaui makmal dan diuji dalam persekitaran dunia sebenar, merapatkan jurang antara penyelidikan dan penerimaan komersial, kata MRANTI.

Ketua Pegawai Eksekutif MRANTI, Ashran Ghazi berkata Malaysia mempunyai kemampuan penyelidikan kukuh dan bakat inovasi yang semakin berkembang dan apa yang diperlukan sekarang ialah platform untuk penyelidikan, industri dan modal boleh bertemu untuk menyelesaikan masalah sebenar dan mencipta nilai ekonomi.

"MRANTI Park direka bentuk untuk menjadi platform tersebut, lokasi untuk teknologi dibangunkan, diuji dan diskalakan bersama rakan industri," katanya.

MRANTI berkata ia bertujuan untuk mengembangkan MRANTI Park menjadi daerah inovasi dipacu misi sebagai tempat bagi syarikat, penyelidik, pelabur dan syarikat baharu bekerjasama lebih erat untuk mempercepatkan pembangunan dan pengkomersialan teknologi baharu.

MRANTI juga telah mengumpulkan lebih 400 pemimpin industri, pelabur, pembangun dan rakan kongsi ekosistem untuk sesi yang memberi tumpuan kepada mempercepatkan inovasi dan pengkomersialan di Malaysia dengan menggandingkan industri, penyelidik dan pelabur untuk menangani cabaran negara melalui Inisiatif Berpacu Misi.

Semasa sesi libat urus itu, MRANTI menggariskan peluang akan datang untuk kerjasama industri menerusi program Permintaan untuk Cadangan yang akan membuka fasa seterusnya pembangunan taman berkenaan (MRANTI Park).

"Peluang disediakan merangkumi kampus inovasi, kemudahan penyelidikan gunaan, kecerdasan buatan dan kluster teknologi digital serta zon perintis dan ruang inovasi yang menyokong pengujian dan kerjasama teknologi," katanya.

MRANTI mengalu-alukan rakan kerjasama yang berkongsi visi jangka panjang untuk membina ekosistem inovasi yang berdaya maju di Malaysia dan menggalakkan organisasi yang berminat untuk menyertai proses RFP termasuk taklimat dan lawatan tapak untuk meneroka kerjasama dalam fasa pembangunan MRANTI seterusnya.

-- BERNAMA

© 2026 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan