AM

PERKEMBANGAN KERANGKA TADBIR URUS AI NEGARA DIJANGKA DILIHAT DALAM MASA 12 BULAN - GOBIND

10/03/2026 04:08 PM

CYBERJAYA, 10 Mac (Bernama) -- Kerajaan menjangkakan perkembangan kerangka piawaian kecerdasan buatan (AI) negara dapat dilihat dengan jelas dalam tempoh 12 bulan, yang merupakan langkah penting untuk Malaysia mencapai status Negara Kecerdasan Buatan (AI) menjelang 2030.

Menteri Digital Gobind Singh Deo berkata pembangunan kerangka itu penting bagi memastikan teknologi AI yang digunakan di negara ini selamat, beretika dan selari dengan perundangan, memandangkan teknologi berkenaan semakin mempengaruhi pelbagai sektor.

Beliau berkata kerangka berkenaan merangkumi tiga komponen utama iaitu pembangunan piawaian, peraturan serta perundangan dan penguatkuasaan.

Gobind berkata komponen pertama melibatkan pembangunan piawaian yang ditentukan melalui penglibatan pakar bagi menetapkan standard AI mengikut sektor tertentu tanpa memerlukan perundangan khusus.

"Selepas itu kita akan melihat kepada aspek peraturan dan pematuhan, dan seterusnya aspek perundangan yang melibatkan penguatkuasaan," katanya kepada media selepas pelancaran My-AI Standards, di sini, hari ini.

Gobind berkata pembangunan kerangka berkenaan memerlukan pembinaan struktur yang kukuh bagi menghimpunkan pakar berkaitan serta mengenal pasti agensi yang sesuai untuk melaksanakan dan menguatkuasakan piawaian yang ditetapkan.

Beliau berkata proses itu akan mengambil masa memandangkan ia melibatkan penyelarasan pelbagai pihak dan pembentukan institusi yang mampu menyokong pembangunan AI negara.

"Ini akan mengambil masa, tetapi seperti yang saya sebut, permulaannya adalah hari ini. Menjelang 2030 kita berharap dapat melihat institusi yang dibina bagi tujuan tersebut," katanya.

My-AI Standards merupakan sebuah platform digital nasional yang berfungsi sebagai pusat sehenti bagi pembelajaran, kolaborasi serta sokongan pelaksanaan piawaian AI di Malaysia.

Platform itu dibangunkan melalui agensi pelaksana CyberSecurity Malaysia dengan kerjasama strategik Pejabat AI Nasional (NAIO) serta disokong oleh Jabatan Standard Malaysia dan SIRIM Bhd.

Gobind berkata pembangunan piawaian itu juga akan mengambil kira keperluan tempatan, termasuk keselarasan dengan undang-undang negara, etika, budaya dan nilai masyarakat.

Dalam masa sama, beliau berkata Malaysia turut meneliti piawaian yang dibangunkan oleh negara lain khususnya di rantau ASEAN bagi mewujudkan kerangka piawaian yang serasi di peringkat serantau dan global.

“Bagi tujuan itu, kerajaan bekerjasama dengan pelbagai pihak termasuk Jabatan Standard Malaysia, pakar industri serta organisasi antarabangsa seperti Pertubuhan Penstandardan Antarabangsa (ISO) dalam pembangunan piawaian AI,” katanya.

Beliau berkata My-AI Standards turut menyokong Pelan Tindakan AI Malaysia 2026-2030 yang memberi tumpuan kepada mempercepat penggunaan AI dalam sektor strategik, membangunkan bakat AI negara serta memperkukuh tadbir urus teknologi secara bertanggungjawab.

“MY-AI Standards diwujudkan bagi membantu sektor awam, industri, perusahaan kecil dan sederhana (PKS) serta institusi akademik memahami dan melaksanakan standard AI antarabangsa secara lebih sistematik dan praktikal, sekali gus memastikan inovasi teknologi berkembang selari dengan prinsip keselamatan, etika, ketelusan dan kebolehpercayaan.

"Kepimpinan dalam AI bukan sekadar tentang teknologi tercanggih, tetapi tentang membina kepercayaan dalam ekosistem digital negara melalui tadbir urus yang mantap serta pematuhan kepada standard yang diiktiraf di peringkat antarabangsa," katanya.

-- BERNAMA 

 

 

© 2026 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan