KOTA KINABALU, 13 Mac (Bernama) -- Mahkamah Pilihan Raya di sini hari ini mengesahkan kemenangan Datuk Fairuz Renddan sebagai Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Pintasan pada Pilihan Raya Negeri (PRN) Sabah ke-17 yang diadakan pada November tahun lepas.
Keputusan itu dibuat Hakim Datuk Faridz Gohim Abdullah yang menolak dan membatalkan petisyen difailkan bekas Speaker Dewan Rakyat, Tan Sri Pandikar Amin Mulia susulan bantahan awal yang dikemukakan Fairuz.
Mahkamah memutuskan bahawa petisyen berkenaan gagal mematuhi beberapa keperluan mandatori di bawah Akta Kesalahan Pilihan Raya 1954 dan Peraturan-Peraturan Petisyen Pilihan Raya.
“Mahkamah ini mendapati bahawa disebabkan pelbagai ketidakpatuhan terhadap peraturan pilihan raya yang ketat serta peruntukan statutori di bawah akta tersebut, pihak pempetisyen gagal membangkitkan bidang kuasa Mahkamah Pilihan Raya dan petisyen pilihan raya ini tidak dapat dipertahankan,” katanya.
Mahkamah turut memerintahkan pempetisyen membayar kos sebanyak RM10,000 kepada Fairuz, dan dengan pembatalan petisyen tersebut, keputusan pilihan raya bagi kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) Pintasan kekal seperti yang diwartakan sebelum ini.
Pandikar memfailkan petisyen pilihan raya tersebut pada 22 Dis tahun lepas dengan menamakan Fairuz sebagai responden pertama, pegawai pengurus pilihan raya bagi kawasan Pintasan sebagai responden kedua, manakala Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) sebagai responden ketiga.
Pempetisyen berusia 70 tahun itu mendakwa berlakunya amalan tidak sah semasa pilihan raya bagi kerusi Pintasan itu yang diadakan pada 29 Nov 2025.
Susulan itu, pada 29 Jan lepas, Fairuz memfailkan bantahan awal untuk membatalkan petisyen tersebut.
Pada 23 Feb, pempetisyen memutuskan untuk tidak meneruskan tindakan terhadap responden kedua dan ketiga dalam petisyen pilihan rayanya, selepas petisyen terhadap kedua-dua pihak itu dibatalkan tanpa sebarang kos tambahan.
Sementara itu, Fairuz yang juga Pembantu Menteri Kerajaan Tempatan dan Perumahan Sabah ketika ditemui pemberita selepas keputusan tersebut, melahirkan rasa syukur atas keputusan mahkamah sekali gus membolehkannya meneruskan tugas dengan lebih fokus sebagai wakil rakyat Pintasan.
Pada PRN Sabah ke-17, Fairuz yang bertanding sebagai calon Bebas, berjaya mempertahankan kerusi DUN Pintasan dalam pertandingan 11 penjuru dengan majoriti 1,070 undi.
Pandikar diwakili peguam Sukumaran Vanugopal, manakala Fairuz diwakili Rizwandean Bukhary M Borhan, Al-Hafidz Lokman dan Khalid Murshidi.
-- BERNAMA
