KUALA LUMPUR, 12 Mac (Bernama) -- Langkah penjimatan oleh kerajaan dengan tidak menganjurkan majlis rumah terbuka Aidilfitri serta mengehadkan lawatan menteri dan pegawai ke luar negara dilihat sebagai isyarat jelas kerajaan untuk menguruskan fiskal secara lebih berdisiplin.
Pengumuman Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim itu menerima reaksi positif pelbagai lapisan masyarakat termasuk persatuan pengguna, belia dan orang ramai yang menyifatkannya sebagai cerminan kesediaan kerajaan menilai semula perbelanjaan tidak kritikal dalam situasi ketidaktentuan ekonomi global.
Di PULAU PINANG, Ahli Jawatankuasa Belia Permatang Pauh, Nur Liyana Sa’idin berkata langkah penjimatan itu wajar terutama dalam keadaan ekonomi global tidak menentu, sekali gus mencerminkan kesediaan kerajaan mengurus perbelanjaan negara secara lebih berhemah dan bertanggungjawab.
“Jika penjimatan ini dapat disalurkan kepada perkara yang lebih penting seperti pembangunan, pendidikan dan membantu golongan memerlukan, sudah tentu ia dapat memberi manfaat yang lebih besar kepada rakyat,” katanya kepada Bernama.
Di NEGERI SEMBILAN, Presiden IKON Malaysia Mia Nurhamizah Abdul Ghapar, 36, berkata langkah penjimatan itu merupakan permulaan yang baik bagi Malaysia supaya dana negara dapat dibelanjakan untuk tujuan lebih mustahak.
“Jadi bagi saya keputusan itu (langkah penjimatan kerajaan) adalah sesuatu yang wajar untuk elakkan pembaziran dan dapat memastikan perbelanjaan pengurusan dalam negara dilaksanakan dengan lebih berhemah,” katanya.
Pandangan sama turut disuarakan pekerja swasta Ahmad Mustafar Ismail, 44, yang berpendapat keputusan itu membuktikan kesungguhan kerajaan melindungi negara yang mungkin akan terkesan dengan konflik di Asia Barat.
“Bagi saya keputusan itu adalah cara terbaik untuk berjimat, tiada rumah terbuka pun tak apa, ia tidak jadi masalah kerana raya tetap akan berlangsung dengan meriah walaupun dengan cara sederhana,” katanya.
Di SARAWAK, Ahli akademik Prof Datuk Dr Jayum Jawan yang juga Felo Akademi Sains Malaysia berkata langkah berkenaan merupakan tindakan berhemat terutamanya dalam menguruskan dana awam.
Beliau berkata pemimpin politik di Sarawak juga boleh mengambil langkah sama dengan memikirkan semula rancangan mengadakan sambutan Gawai secara besar-besaran yang mungkin melibatkan jumlah wang yang besar.
“Dana awam seharusnya digunakan dengan betul dan memberi kesan atau impak kepada kesejahteraan rakyat.
“Dalam keadaan ekonomi global yang tidak menentu sekarang ini, usaha mengawal perbelanjaan seperti ini mampu memastikan dana negara digunakan secara lebih berkesan demi kesejahteraan rakyat,” katanya.
Di KELANTAN, seorang guru Noorsofea Qistina Abdul Rahman, 35, berkata keputusan kerajaan itu merupakan langkah berhemah dalam situasi ekonomi semasa.
“Bagi saya langkah yang diambil itu sangat baik kerana kerajaan dapat menjimatkan perbelanjaan itu untuk perkara yang lebih penting seperti membantu rakyat atau menambah baik kemudahan sektor lain seperti kesihatan mahupun pendidikan,” katanya.
Pekerja swasta, Azizul Izwan Abdullah, 45, pula berkata langkah penjimatan tersebut menunjukkan komitmen kerajaan dalam mengurus kewangan negara secara lebih berdisiplin.
Di SABAH, Presiden SME Association of Sabah Dr Deledda Tan berkata langkah penjimatan itu wajar kerana kerajaan perlu membuat persediaan awal sekiranya berlaku krisis ekonomi atau peningkatan harga minyak akibat situasi geopolitik semasa.
"Ia satu langkah yang baik untuk mereka mengurangkan kos kerana mereka mahu menjimatkan wang dan membuat persediaan sekiranya berlaku sebarang krisis. Kita tidak dapat meramalkan sama ada akan ada krisis atau tidak, tetapi kita boleh menjangkakannya. Di negara lain, harga minyak telah pun meningkat," katanya.
Bagaimanapun, Deledda berkata sambutan perayaan masih boleh diadakan tetapi dalam skala yang lebih kecil supaya tradisi masyarakat majmuk di negara ini dapat terus dipelihara.
Beliau berkata penganjuran majlis secara sederhana bukan sahaja dapat membantu kerajaan menjimatkan perbelanjaan, malah masih membolehkan perniagaan perusahaan kecil dan sederhana (PKS) mendapat peluang perniagaan sempena musim perayaan.
Semalam, Perdana Menteri mengumumkan beberapa langkah penjimatan termasuk tidak akan menganjurkan majlis rumah terbuka sempena Aidilfitri tahun ini, selain mengehadkan lawatan menteri dan anggota pentadbiran ke luar negara, sebagai langkah berjimat cermat susulan ketidaktentuan ekonomi global akibat konflik di Asia Barat.
-- BERNAMA
