MELAKA, 12 Mac (Bernama) -- Seorang lelaki berusia 25 tahun maut selepas dipercayai bertengkar dengan seorang kenalannya di Kampung Sungai Udang, di sini semalam.
Ketua Polis Daerah Melaka Tengah ACP Christopher Patit berkata dalam kejadian kira-kira 8.30 malam itu, mangsa ditemukan terlantar di beranda rumahnya dengan tiga kesan tikaman pada bahagian dada.
"Kejadian berkenaan disedari abang mangsa selepas mendengar pergaduhan antara mangsa dengan suspek lelaki berusia 44 tahun, yang melarikan diri kira-kira 300 meter dari tempat kejadian.
"Siasatan awal mendapati suspek datang ke rumah mangsa untuk mengambil semula telefon bimbitnya, namun berlaku pertengkaran dengan mangsa.
"Dalam pergelutan itu, mangsa dipercayai ditikam pada dada kiri menggunakan parang," katanya kepada pemberita di tempat kejadian, di sini.
Mayat dihantar ke Hospital Melaka untuk bedah siasat, dan kes disiasat mengikut Seksyen 302 Kanun Keseksaan.
-- BERNAMA
