AM

JKM ARAH PUSAT JAGAAN KANAK-KANAK DI HOSPITAL SEBERANG JAYA TUTUP SEMENTARA

11/03/2026 03:45 PM

PUTRAJAYA, 11 Mac (Bernama) --  Sebuah pusat jagaan kanak-kanak dalam kawasan Hospital Seberang Jaya, Pulau Pinang diarah ditutup sementara berkuat kuasa serta-merta susulan kematian seorang bayi lelaki di bawah jagaan premis itu pada 9 Mac.

Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM) dalam kenyataan hari ini memaklumkan perintah penutupan sementara dikeluarkan mengikut perenggan 16(1)(a) Akta Taman Asuhan Kanak-Kanak 1984 [Akta 308] selepas siasatan awal dijalankan.

“Sejurus laporan kejadian diterima, Pegawai Kebajikan Masyarakat telah ke premis terlibat untuk menjalankan siasatan awal di bawah Akta Kanak-Kanak 2001 [Akta 611] melibatkan aspek perlindungan dan kebajikan kanak-kanak.

“Pemeriksaan turut dilakukan bagi menilai tahap pematuhan premis di bawah Akta 308 dan peraturan pengoperasian berkaitan,” menurut JKM dan menambah mereka memandang serius kes tersebut.

Menerusi kenyataan sama, JKM memaklumkan turut memberikan bantuan sokongan psikososial awal kepada ibu mangsa dan ahli keluarga yang terlibat.

JKM memaklumkan akan memberi kerjasama penuh kepada polis dalam membantu siasatan.

“Kerajaan menegaskan setiap pusat jagaan berdaftar di bawah Akta 308 hendaklah mematuhi peraturan ditetapkan termasuk melibatkan kelayakan pengasuh dan prosedur keselamatan kanak-kanak.

“Sekiranya dibuktikan berlaku apa-apa pelanggaran undang-undang atau syarat pendaftaran, tindakan tegas termasuk penggantungan operasi atau pembatalan pendaftaran taska akan diambil,” menurut kenyataan itu.

Isnin lepas, polis memaklumkan Hayl Haarith Mohd Syafaeez, empat bulan, disahkan meninggal dunia di hospital sama pada 4.20 pagi selepas dibawa oleh pengasuh sebuah pusat jagaan.

Mangsa dihantar ke pusat jagaan yang beroperasi 24 jam itu kira-kira sebulan, berikutan ibunya, seorang jururawat kembali bertugas.

-- BERNAMA

© 2026 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan