KUANTAN, 9 Mac (Bernama) -- Insiden kebakaran yang meragut nyawa lima sekeluarga di sebuah rumah di Kampung Pamah Kulat, Raub pada 26 Feb lepas berpunca daripada litar pintas.
Pengerusi Jawatankuasa Kerajaan Tempatan, Perumahan, Alam Sekitar dan Teknologi Hijau negeri Datuk Mohammad Fakhruddin Mohd Ariff berkata siasatan Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Pahang mendapati punca kebakaran itu juga disebabkan sistem pendawaian yang tidak teratur sehingga menyebabkan berlakunya litar pintas.
“Berdasarkan analisis yang dilaksanakan oleh JBPM Pahang terhadap kes-kes kebakaran struktur tahun ini, sebanyak 15 daripada 35 kes keseluruhan berpunca daripada faktor elektrikal iaitu sekitar 43 peratus diikuti tujuh kes berpunca daripada peralatan gas iaitu 20 peratus, serta enam kes berpunca daripada api berbara iaitu sekitar 17 peratus manakala selebihnya masih dalam siasatan,” katanya.
Beliau berkata demikian kepada pemberita pada Majlis Pelancaran Kempen Keselamatan Kebakaran bersempena dengan Siap Siaga Raya Tahun 2026 di Padang MBK 1 di sini hari ini.
Mohammad Fakhruddin juga berkata atas titah Sultan Pahang Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah, pihaknya akan menyumbangkan sebuah Rumah Rakyat Pahang kepada waris mangsa yang terselamat, yang dijangka siap pada tahun ini.
Beliau berkata pihaknya bercadang memastikan setiap rumah mampu milik di Pahang dilengkapi alat pemadam api bagi meningkatkan tahap keselamatan penghuni memandangkan penggunaannya amat penting terutama apabila melibatkan elektrik atau gas yang tidak boleh dipadam dengan air kerana boleh memburukkan keadaan.
Pada majlis berkenaan, Ahli Dewan Undangan Negeri Bebar itu turut menyaksikan penyerahan dua jentera Fire Rescue Tender oleh Syarikat Alliance Steel kepada JBPM Pahang.
Beliau berkata inisiatif tanggungjawab sosial korporat syarikat berkenaan juga jelas menunjukkan komitmen pihak industri dalam menyokong usaha pihak berkuasa dalam memperkukuh aspek keselamatan awam.
Mohammad Fakhruddin berkata sebagai langkah tambahan untuk meningkatkan kecekapan respons kecemasan sepanjang musim perayaan Aidilfitri tahun ini, jentera dan pasukan JBPM Pahang akan ditempatkan di tiga lokasi strategik sepanjang lebuh raya utama iaitu kawasan rehat dan rawat Temerloh, Gambang serta Genting Sempah dari 19 hingga 24 Mac ini.
“Langkah ini diambil bagi memastikan masa tindak balas pasukan penyelamat dapat dipertingkat sekiranya berlaku sebarang kecemasan sepanjang tempoh perjalanan pulang masyarakat ke kampung halaman,” katanya.
-- BERNAMA
