AM

WARIS KEBAKARAN RAUB TERIMA PENCEN PENAKAT, JADI ANAK ANGKAT PERKESO

07/03/2026 07:26 PM

KUALA LUMPUR, 7 Mac (Bernama) -- Dua beradik waris kepada mangsa kebakaran Kampung Pamah Kulat, Ulu Dong, Raub, Pahang baru-baru ini layak menerima faedah Pencen Penakat Pertubuhan Keselamatan Sosial (PERKESO).

Ruby Adalia Balqis Mohd Alawi, 19, serta Ahmad Balia Murqam, 15, menerima Faedah Pengurusan Jenazah PERKESO sekali beri berjumlah RM3,000 pada 27 Feb manakala Pencen Penakat RM373.20 bulanan telah diluluskan dan akan dikreditkan dalam tempoh terdekat.

Ketua Pegawai Eksekutif Kumpulan PERKESO Datuk Seri Dr Mohammed Azman Aziz Mohammed berkata rekod caruman arwah bapa mereka Mohd Alawi Muhammad didapati masih aktif.

Beliau berkata berdasarkan semakan, Mohd Alawi pernah berkhidmat di sektor formal dan mencarum skim LINDUNG Pekerja melalui perkhidmatan bersama-sama 11 majikan sejak 1990.

“Skuad PERKESO Prihatin menziarahi waris pada hari kejadian, iaitu 26 Feb untuk menyegerakan semakan dan proses faedah.

“Setelah semakan dibuat, walaupun rekod caruman terakhir arwah pada September 2010, warisnya masih layak menerima dua faedah PERKESO,” katanya menerusi kenyataan yang dikeluarkan selepas Ziarah Prihatin di kediaman waris hari ini.

Pada 26 Feb, Mohd Alawi, 56, dan isteri Zaleha Adam@Ibrahim, 44, serta tiga anak perempuan mereka Ruby Adira Batrisya, 17, Ruby Adlina Banin, 14, dan Ruby Azyan Barizah, 10, maut dalam kebakaran yang berlaku awal pagi. 

Ruby Adalia Balqis dan Ahmad Balia Murqam selamat kerana tinggal di asrama. 

Selain itu, Mohammed Azman berkata langkah intervensi turut dilaksanakan dengan mendaftar dua waris Mohd Alawi sebagai ahli Program Prihatin Keluarga Angkat (PROTEK) PERKESO bagi memastikan kebajikan, pendidikan dan keperluan sosial mereka terus terpelihara.

“Melalui program ini, PERKESO akan menyediakan sokongan pendidikan kepada Ruby Adalia Balqis yang melanjutkan pengajian di Kolej Matrikulasi Pahang termasuk bantuan peralatan pembelajaran bagi menyokong proses pembelajarannya.

“Bagi Ahmad Balia Murqam yang bersekolah di Sekolah Menengah Kebangsaan Dong, PERKESO akan menyalurkan sumbangan tunai bagi tujuan pembelian peralatan dan persiapan persekolahan bagi memastikan kelangsungan pendidikan,” katanya.

-- BERNAMA

© 2026 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan