KOTA KINABALU, 9 Mac (Bernama) -- Menteri Sumber Asli dan Kelestarian Alam Datuk Seri Arthur Joseph Kurup menegaskan kestabilan kerjasama antara Kerajaan Persekutuan dan Sabah adalah tunjang memastikan warisan alam semula jadi kekal terpelihara demi kesejahteraan generasi masa depan.
Arthur dalam kenyataan hari ini berkata komitmen itu dizahirkan melalui usaha berterusan memperkukuh sinergi strategik antara Kementerian Sumber Asli dan Kelestarian Alam (NRES) dan Kerajaan Negeri Sabah dalam memacu agenda kelestarian alam serta pengurusan sumber asli negara.
Beliau berkata perkara itu antara yang dibincangkan ketika kunjungan hormatnya ke atas Ketua Menteri Sabah Datuk Seri Hajiji Noor di Menara Kinabalu di sini hari ini.
Dalam pertemuan itu, Kerajaan Persekutuan turut memberikan pengiktirafan terhadap usaha Sabah mengekalkan kawasan perlindungan melalui penyaluran dana Pemindahan Fiskal Ekologi (EFT) berjumlah RM22.748 juta bagi fasa pertama 2026.
Penyaluran itu menyusuli dana 2025 sebanyak RM35.69 juta, menjadikan jumlah keseluruhan yang diterima Sabah sejak 2019 mencecah RM126.357 juta bagi menyokong pelaksanaan projek konservasi biodiversiti di negeri ini.
“Kunjungan hormat ini turut memberi fokus kepada perkara di bawah kerangka Perjanjian Malaysia 1963 (MA63), termasuk pindaan Akta Kualiti Alam Sekeliling 1974 [Akta 127] yang melibatkan pemberian kuasa kawalan buangan terjadual di darat dan perairan Sabah.
“Selain itu, proses penyerahan semula lot tanah Persekutuan kepada kerajaan negeri kini berada dalam fasa akhir untuk kelulusan Jemaah Menteri,” katanya.
-- BERNAMA
