MELAKA, 7 Mac (Bernama) -- Majlis Perbandaran Hang Tuah Jaya (MPHTJ) merancang membangunkan semula kawasan Forestay di Taman Botanikal Melaka, Ayer Keroh, di sini bagi memberikan imej baharu dan menghidupkan semula kawasan itu sebagai destinasi penginapan berasaskan alam semula jadi dalam hutan bandar.
Yang Dipertua MPHTJ Datuk Sapiah Haron berkata cadangan itu dibuat selepas lawatan bersama Ketua Menteri Datuk Seri Ab Rauf Yusoh ke Taman Botanikal baru-baru ini, dan mendapati banyak pokok tumbang yang perlu dibersihkan selain beberapa kemudahan sedia ada memerlukan penambahbaikan.
"Susulan lawatan itu, Jabatan Perhutanan telah diminta untuk membersihkan pokok tumbang di kawasan terbabit dengan mengekalkan pokok yang masih sesuai dipelihara, manakala pokok yang tumbang akan dikeluarkan bagi memastikan keselamatan serta keindahan kawasan itu.
“Dalam masa sama, kita melihat potensi pembangunan baharu yang boleh dilaksanakan di kawasan itu termasuk membangunkan semula Forestay yang kini didapati banyak kemudahannya telah rosak,” katanya kepada pemberita, di sini hari ini.
Terdahulu, beliau menyampaikan sumbangan kepada 170 penerima pada Program Sentuhan Kasih Prihatin MPHTJ 2026 di Ayer Keroh.
Mengulas lanjut, Sapiah berkata pembangunan itu dijangka dilaksanakan dalam masa terdekat, sekali gus memberikan nafas baharu kepada kawasan berkenaan sebagai destinasi rekreasi dan pelancongan alam semula jadi di negeri ini.
Kawasan yang berkeluasan kira-kira 4.86 hektar itu mempunyai kira-kira 30 unit chalet selain beberapa konsep baharu dicadang diperkenalkan seperti penginapan berasaskan alam semula jadi termasuk glamping bagi memberikan pengalaman unik kepada pengunjung untuk bermalam di kawasan hutan bandar itu.
Beliau berkata pembangunan semula itu juga tidak akan menjejaskan kawasan hutan sedia ada di Taman Botanikal kerana proses naik taraf itu hanya melibatkan kawasan yang telah dibangunkan sebelum ini bagi mengekalkan fungsi taman berkenaan sebagai kawasan rekreasi.
“Lokasinya juga sangat menarik kerana pengunjung yang masuk melalui pintu utama di Ayer Keroh boleh terus ke kawasan itu untuk merasai pengalaman bermalam di Taman Botanikal," katanya.
-- BERNAMA
