KUALA LUMPUR, 8 Mac (Bernama) -- Tokoh ilmuwan dan pemikir peradaban Islam kontemporari, Profesor Diraja Tan Sri Dr Syed Muhammad Naquib Al-Attas meninggal dunia pada 6.47 petang tadi.
Berita duka pemergian tokoh berusia 94 tahun itu dikongsikan Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama) Dr Zulkifli Hasan menerusi Instagram hari ini.
Beliau berkata pemergian Allahyarham bukan sekadar kehilangan seorang tokoh, tetapi hilangnya sebutir permata ilmu bagi umat Islam.
“Almarhum dikenali sebagai mujaddid, pemikir, ilmuwan yang menyalakan kembali obor ilmu dan adab dalam dunia Islam.
“Buah fikiran dan perjuangan beliau bukan sahaja menghidupkan wacana intelektual, bahkan turut menyumbang kepada lahirnya institusi penting seperti Angkatan Belia Islam Malaysia (ABIM), Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM), Institut Alam dan Tamadun Melayu (ATMA) serta ISTAC (Institut Pemikiran dan Tamadun Islam Antarabangsa),” katanya.
Zulkifli berkata walaupun negara berduka dengan kehilangan seorang ulama pemikir, tetapi Allahyarham meninggalkan legasi serta warisan ilmu yang akan terus hidup untuk mendidik generasi akan datang.
Difahamkan jenazah Allahyarham akan disolatkan di Masjid At-Taqwa Taman Tun Dr Ismail (TTDI) di sini, pagi esok sebelum dikebumikan di Tanah Perkuburan Islam Bukit Kiara.
Pada Okt 2024, Yang di-Pertuan Agong Sultan Ibrahim mengurniakan gelaran Profesor Diraja kepada Allahyarham atas sumbangannya terhadap negara, khususnya dalam bidang pendidikan Islam.
Profesor Diraja merupakan gelaran tertinggi yang diberikan kepada seseorang profesor oleh Yang di-Pertuan Agong.
-- BERNAMA
