KUALA LUMPUR, 9 Mac (Bernama) -- Angkatan Belia Islam Malaysia (ABIM) mencadangkan kerajaan memberikan pengiktirafan nasional kepada Allahyarham Prof Diraja Tan Sri Syed Muhammad Naquib al-Attas sebagai 'Tokoh Peradaban Negara'.
Presidennya Ahmad Fahmi Mohd Samsudin berkata cadangan itu sebagai penghargaan tertinggi terhadap jasa dan sumbangan besar Allahyarham dalam memartabatkan tradisi keilmuan serta pembinaan peradaban Islam di peringkat sejagat.
“Pengiktirafan sedemikian bukan sekadar mengenang seorang sarjana besar, tetapi penghargaan terhadap tradisi keilmuan yang menjadi asas kepada pembinaan tamadun bangsa.
“ABIM berpandangan sumbangan beliau kepada pembangunan pemikiran Islam, pendidikan serta peradaban Melayu-Islam adalah terlalu besar untuk dikenang dalam ruang akademik semata-mata,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.
Ahmad Fahmi berkata Allahyarham merupakan nakhoda yang melakarkan peta pemikiran Islam kontemporari menerusi gagasan Islamisasi ilmu dan konsep ta’dib sebagai asas pendidikan dalam membina insan beradab.
Beliau berkata melalui karya, institusi serta generasi murid yang dibimbingnya, Allahyarham telah meletakkan asas penting kepada tradisi keilmuan yang menggabungkan ketelitian ilmiah dan kedalaman spiritual.
Sumbangan Allahyarham dalam menghuraikan falsafah sejarah dan kebudayaan Melayu-Islam juga telah meletakkan identiti bangsa pada kedudukan bermaruah di mata dunia.
Antara karya besar Syed Muhammad Naquib yang memberi pengaruh penting termasuk Islam and Secularism (1978) yang mengkritik sekularisasi pemikiran moden serta The Concept of Education in Islam (1980).
“Legasi pemikiran beliau mengingatkan bahawa pemulihan tamadun tidak bermula dengan kekuasaan semata-mata, tetapi dengan pemulihan adab serta pembinaan insan berilmu dan berakhlak,” katanya.
Syed Muhammad Naquib, pengasas dan pengarah Institut Pemikiran dan Tamadun Islam Antarabangsa (ISTAC) meninggal dunia pada 6.47 petang semalam, pada usia 95 tahun.
-- BERNAMA
