AM

PERAK CARUM RM50 SKIM I-SURI UNTUK 1,979 IBU TUNGGAL

05/03/2026 04:39 PM

IPOH, 5 Mac (Bernama) -- Kerajaan Negeri Perak bersetuju mencarum secara sekali bayar sebanyak RM50 bagi membuka akaun Skim i-Suri kepada 1,979 ibu tunggal yang tersenarai dalam data e-Kasih daripada kategori miskin dan miskin tegar.

Pengerusi Jawatankuasa Pembangunan Wanita, Keluarga, Kebajikan Masyarakat, Pembangunan Usahawan dan Koperasi negeri Datuk Salbiah Mohamed berkata sebanyak RM98,950 diperuntukkan bagi tujuan berkenaan.

“Melalui inisiatif ini, penerima yang membuat caruman layak menerima insentif caruman sebanyak 50 peratus daripada jumlah simpanan dan waris penerima juga layak menerima insentif Khairat Kematian sebanyak RM2,500 sekiranya berlaku kematian,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika ditemui pemberita selepas merasmikan Majlis Sambutan Hari Wanita Peringkat Negeri Perak Tahun 2026 anjuran Sekretariat Pembangunan Wanita dan Masyarakat Negeri Perak, di sini, hari ini.

Salbiah berkata usaha itu diharap dapat memberi peluang kepada mereka yang bekerja sendiri untuk mencarum secara sukarela dan menikmati manfaat insentif kerajaan, sekali gus menjamin masa depan yang lebih terjamin pada usia tua.

“Dengan adanya caruman Skim i-Suri kepada ibu tunggal, sekiranya berlaku sesuatu yang tidak diingini, sekurang-kurangnya terdapat perlindungan asas untuk ahli keluarga mereka pada masa hadapan,” katanya.

— BERNAMA

 

 

 

 

 


 

© 2026 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan