AM

WANITA PEMANGKIN PERUBAHAN, SUMBER INSPIRASI - TENGKU ZAFRUL

07/03/2026 03:16 PM

KUALA LUMPUR, 7 Mac (Bernama) -- Penasihat Kanan Politik kepada Perdana Menteri Tengku Datuk Seri Zafrul Abdul Aziz menyifatkan wanita sebagai pemangkin perubahan dan sumber inspirasi yang mampu membawa impak sosial dalam masyarakat.

Beliau berkata semangat itu dapat dilihat pada pameran autobiografi bertajuk Hikayat oleh pelukis Noor Aishah Abdul Rahman atau lebih dikenali dengan nama Noura AR yang mengetengahkan perjalanan hidup sebagai seorang artis, isteri dan ibu.

Pameran itu bukan sekadar menampilkan karya seni, tetapi juga menjadi ruang penceritaan pengalaman hidup yang membentuk identiti, ketabahan serta kekuatan seorang wanita dalam menempuh pelbagai cabaran kehidupan.

Tengku Zafrul berkata setiap karya mencerminkan “halaman” yang merakam kenangan, cabaran, kehilangan dan kekuatan sekali gus menggambarkan perjalanan hidup yang memberi inspirasi kepada wanita lain untuk terus bangkit dan berkarya.

“Noura AR mempunyai ketabahan untuk kembali berkarya selepas memberi tumpuan kepada keluarga. Pengalaman hidup membentuk identiti, kekuatan dan pendekatan seninya.

“Karya yang dihasilkan mencerminkan ketahanan, penerimaan dan harapan,” katanya semasa berucap pada perasmian Pameran Autobiografi Hikayat Noura AR di HARTA Space di sini hari ini.

Tengku Zafrul berkata sempena sambutan Hari Wanita Sedunia pada esok, beliau mahu srikandi seni seperti Noura AR terus menggunakan seni sebagai medium ekspresi untuk penyembuhan (healing) dan membawa perubahan sosial.

Noura yang dilahirkan di Singapura pada 1963 mendapat pendidikan seni formal dalam bidang seni catan dan seni cetakan di Institut Teknologi Mara (ITM) pada 1982.

Karya seninya dipengaruhi prinsip kesenian Islam dengan penggayaan, tidak individualistik dan pengulangan yang melahirkan imej abstrak sejak di ITM.

Noura kehilangan dua insan tersayang iaitu suami pada 2022 manakala anak keduanya pada 2024 akibat kanser.

-- BERNAMA



 

© 2026 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan